Monday, February 13, 2012

Tiada krisis dalam Selangor



KUALA LUMPUR – Pengendali Selangor, Irfan Bakti Salim menegaskan, adalah tidak tepat untuk menganggap pasukannya berada dalam krisis.

Prestasi hambar skuad Red Giants pada awal musim menyaksikan mereka kini sekadar menduduki tangga kelapan Liga Super dengan sembilan mata daripada tujuh perlawanan, jauh ditinggalkan pendahulu, Kelantan yang mengumpul 17 mata.

Kekalahan mengejut 0-2 kepada ‘adik’, Selangor PKNS kelmarin mengeruhkan lagi keadaan buat juara 2009 dan 2010 itu, menjelang satu lagi ujian getir melayan kunjungan Kelantan di Stadium Shah Alam esok.

Namun Irfan kekal optimis dan berkata, tidak ada alasan untuk skuad bimbingannya mengibarkan bendera putih dan yakin masa masih memihak mereka untuk mengubah nasib.

“Perjalanan musim ini masih panjang. Kami masih mempunyai masa untuk memperbaiki keadaan, jadi saya tidak fikir Selangor sedang dalam krisis.

“Masalah utama yang membelenggu kami ialah ketumpulan di bahagian serangan, kamu boleh saksikan sendiri perlawanan semalam (kelmarin), begitu banyak peluang dicipta namun gagal disempurnakan.

“Kami masih menunggu status perpindahan Bosko Balaban yang dijangka diketahui esok (hari ini). Saya yakin Balaban adalah jawapan kepada kebuntuan memburu gol,” keluh jurulatih yang membimbing Terengganu menjadi naib juara Liga Super dan juara Piala FA musim lalu.

Irfan turut tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa berhubung kekalahan kepada PKNS, yang mencatat kemenangan sulungnya musim ini.

“Memang sangat mengecewakan untuk tewas kepada PKNS, pasukan yang dibarisi rata-ratanya bekas pemain Selangor.

“PKNS bermain dengan baik dan sememangnya berhak meraih kemenangan itu,” jelasnya.

Dua penjaring gol, Rudie Ramli dan Helmi Remeli serta beberapa pemain PKNS yang memusnahkan lawan mereka kelmarin, mempunyai kaitan secara langsung sama ada dengan Irfan sendiri atau Selangor.

Rudie adalah penyerang yang menyertai PKNS musim ini dari Selangor, sementara Helmi merupakan bekas anak buah Irfan itu di Terengganu.

Malah, pemain-pemain seperti Fauzan Dzulkifli dan P. Rajesh pula pernah beraksi untuk skuad Piala Presiden Selangor.

Meskipun memulakan 2012 dengan langkah negatif, Irfan menegaskan dia langsung tidak mempunyai kekesalan untuk menyertai Selangor.

“Saya tidak kesal menyertai Selangor, sebaliknya ia menjulang keazaman saya untuk terus bekerja keras cuba memperbaiki persembahan pasukan selepas ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...