Friday, February 24, 2012

Butler direhat serta-merta


Harian Metro

KETIKA ramai menyangka isu berkaitan jurulatih Kelantan, Peter James Butler sudah selesai, timbul tanda tanya mengenai nasib jurulatih berusia 46 tahun itu apabila beliau direhatkan berkuat kuasa semalam.


Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena apabila jurulatih berasal dari England itu tiba-tiba direhatkan, sedangkan skuad Kijang baru saja menewaskan Sarawak untuk layak ke pusingan kedua saingan Piala FA.




Tinjauan Harian Metro ketika pemain The Red Warriors menjalani latihan petang semalam, mendapati kelibat Butler tidak kelihatan, sebaliknya penolong jurulatih, Sidek Samsuddin yang mengawasi pemain.




Bagaimanapun, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim ketika dihubungi tenang menjelaskan Butler hanya direhatkan dan bukannya digantung sebagai ketua jurulatih Kelantan.

Katanya, Butler masih ketua jurulatih Kelantan dan tetap menikmati faedah seperti dalam kontrak perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).


"Dia (Butler) tidak digantung tapi hanya direhatkan seketika untuk menyelesaikan beberapa persoalan yang ditimbulkannya dan Kafa juga akan mendengar penjelasan terhadap rasa tidak puas hatinya dengan pihak pengurusan.





"Kita ambil kira semua aspek sebelum membuat apa-apa keputusan, malah kita harap sewaktu beliau direhatkan, perkara ini tidak akan menjejaskan persiapan pemain untuk menghadapi perlawanan akan datang," katanya.

Menurut Azman, Kafa akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan krisis yang timbul di antara Butler dengan pengurusan Kafa selain mengharapkan jurulatih itu perlu berhati-hati ketika menyuarakan perasaan tidak puas hatinya.




"Bukan soal kita tidak senang dikritik, namun beliau perlu menjelaskan masalahnya dengan pihak pengurusan kerana jika tidak, masalah dibangkitkan tidak akan selesai sampai bila-bila," katanya.

Sebelum ini, selepas perlawanan Kelantan menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, Butler meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap pemilihan pemain import.


Butler mendakwa tidak tahu-menahu mengenai pemain import baru Kelantan, Nwoha Onyekachi yang diturunkan dalam perlawanan itu, selain menyatakan dia tidak tahu apa fungsinya sebagai jurulatih jika perkara itu tidak diberitahu kepadanya.


Bagaimanapun, isu tidak sehaluan itu dianggap selesai apabila Butler membuat perjumpaan dengan Azman pada 17 Febuari lalu dan memilih untuk memberi perhatian terhadap membimbing pasukan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...