PERAK tidak pandang mudah pertemuan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perlawanan pembukaan Piala FA di Ipoh, malam ini.
Sebaliknya pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun menuntut persembahan terbaik daripada pemain Seladang agar misi melangkah ke pusingan seterusnya menjadi kenyataan.
Walaupun suasana dalam pasukan tidak begitu menceriakan berikutan dua kekalahan berturut-turut, pengurus pasukan Seladang, Khairul Azwan Harun yakin awan mendung akan berarak lalu malam ini.
Berikutan itu beliau berharap pemain segera melupakan kekecewaan tumpas 2-1 kepada LionsXII, Selasa lalu agar tumpuan pemain tidak terjejas.
“Saya harap pemain tidak terlalu terjejas dengan kekalahan itu dan mampu bangkit untuk menghasilkan kejayaan dalam saingan kalah mati ini,” katanya.
Azwan yakin jurulatih, Norizan Bakar sudah melakukan apa yang perlu untuk mengembalikan keyakinan dan moral pemain ke tahap tinggi.
“Pertemuan dengan ATM ini adalah piala lain. Pemain perlu tumpukan perhatian terhadap kejohanan ini kerana ia juga penting dan berprestij. Sasaran kita ialah untuk memenangi satu gelaran jadi pemain perlu mencubanya dalam Piala FA,” katanya.
Namun Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) itu sedar perlawanan malam ini tidak mudah buat pasukan Kejor Yob Kejor yang berdepan pendahulu Liga Perdana yang dibimbing jurulatih berpengalaman, S Sathianathan.
No comments:
Post a Comment