Sunday, February 5, 2012

Kim Swee mahu tiga mata dari Bahrain



KUALA LUMPUR - Tiada perkara lain dalam kotak fikiran jurulatih bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee menjelang perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2012 menentang Bahrain di Manama hari ini, kecuali mendapatkan gol dan bawa pulang tiga mata.




Biarpun bakal beraksi di bawah cuaca sejuk mencecah 10 darjah celsius, namun sasaran Malaysia hanya membawa pulang kemenangan.

Jika misi tersebut berjaya, peluang skuad Harimau Muda untuk sekurang-kurangnya layak ke penentuan play-off Olimpik kembali terbuka selepas berada pada kedudukan kritikal, menghuni tempat terakhir Kumpulan C tanpa sebarang mata.

Menurut Kim Swee, sekarang bukan masa yang sesuai untuk memikirkan tentang kelebihan pasukan lawan, sebaliknya beliau lebih gemar untuk melihat kekuatan yang ada pada anak buahnya digunakan sebaik mungkin hari ini.

"Kita tahu Bahrain memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, malah mereka juga mempunyai pemain yang kaya dengan kemahiran individu tetapi pada masa sekarang kita tidak perlu memikirkan semua itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, apa yang paling mustahak adalah memikirkan tentang kelebihan Malaysia mampu diterjemahkan untuk menghasilkan kemenangan, sekali gus memadam episod duka pada perlawanan pertama di Bukit Jalil, November lalu.

Pada perlawanan itu, Malaysia selesa mendahului Bahrain 2-0 hasil jaringan Muhamad Nazmi Faiz Mansor dan Mahali Jasuli, namun 10 minit sebelum perlawanan tamat kita tewas 2-3.

Ditanya mengenai bayangan kesebelasan utama yang bakal diturunkan, Kim Swee berkata, semuanya akan ditentukan hari ini sebaik mereka menjalani latihan terakhir.

"Bayangan itu saya sudah ada tetapi kita perlu tunggu sehingga hari perlawanan sebenar.

"Setakat ini semua pemain berada dalam keadaan yang sihat, tidak ada sebarang masalah kecederaan dan rata-rata mereka sudah menyesuaikan diri dengan keadaan di sini.

"Inilah pentingnya mengapa kita perlu tiba awal di sini, selain membolehkan pemain membiasakan diri dengan keadaan cuaca yang sejuk, penyesuaian perubahan waktu juga amat penting," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Perlawanan hari ini yang bermula pada pukul 11.30 malam waktu Malaysia dijangka berlangsung dalam suasana yang sejuk dengan cuaca mampu menjangkau 10 hingga ke 11 darjah celsius.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...