Thursday, February 16, 2012

Negeri Sembilan gagal manfaat gelanggang sendiri



SEREMBAN - Biarpun beraksi di halaman sendiri, skuad Rusa bagaikan hilang taring apabila sekadar berkongsi satu mata dengan PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin.



Perkara itu diakui pengendali skuad Hobin Jang Hobin, Mohd. Azraai Khor Abdullah ekoran anak buahnya gagal memanfaatkan beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

Biarpun pasukan tuan rumah tersentak dengan gol pembukaan menerusi penalti lawan yang disempurnakan Paulo Sergio Ferreira pada minit ke-43, Negeri Sembilan tidak patah semangat meneruskan serangan.

Bangkit memperkemaskan serangan, anak buah Mohd. Azraai akhirnya memecah kebuntuan apabila berjaya merobek kubu lawan apabila Awang importnya, Jean-Emmananuel Effa Owona menceriakan skuad Rusa menjaringkan gol penyamaan sebelum babak pertama berakhir.

''Biarpun kita dikejutkan dengan gol pertama pasukan PKNS menerusi penalti, kerja keras pemain-pemain Negeri Sembilan akhirnya membuah hasil apabila menyumbat gol penyamaan dalam tempoh dua minit.

''Namun kita agak kecewa kerana usaha memburu gol seterusnya pada aksi separuh masa kedua tidak dapat dilakukan oleh pemain biarpun mencipta beberapa peluang di depan kubu lawan," katanya.

Kata Mohd. Azraai, biarpun tidak berputih mata di gelanggang sendiri, dia tetap melihat keputusan tersebut dari sudut positif dan mengambil iktibar untuk perlawanan seterusnya.

Ujarnya, selain kecederaan faktor keletihan berikutan mengharungi jadual padat serta perjalanan jauh selepas bermain dua kali di tempat lawan iaitu bertemu T-Team dan Lions XII baru-baru ini mempengaruhi corak permainan.

Dalam pada itu, Mohd. Azraai berkata, skuadnya tidak mahu memandang kebelakang, sebaliknya tumpuannya kini hanya untuk mencongak dan memperbaiki prestasi kesemua pemain kerana mahu memberi fokus pada perlawanan Piala FA.

"Apa yang penting selepas ini ialah kita mahu memberi perhatian kepada Piala FA bertemu Johor FC pada 18 Februari ini. Ini perlawanan penting kalah mati yang menentukan untuk bermain ke perlawanan seterusnya.

"Jadi seharusnya kita mahu melepasi pusingan ini dan saya yakin semua pasukan lain juga akan memberi perhatian kerana menjadi impian semua pasukan untuk menjuarainya," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...