KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) menyatakan Indonesia mesti menghentikan liga yang berpisah dengannya menjelang 22 Mac depan atau berdepan penggantungan badan induk bola sepak dunia.
Bola sepak Indonesia berdepan kemelut sejak November lalu apabila Liga Super Indonesia (ISL) turut berlangsung, mencetuskan persengketaan dengan saingan liga yang rasmi, Liga Prima.
Setiausaha Agung AFC, Alex Soosay (gambar) berkata, Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) memberikan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) sehingga 22 Mac depan bagi ‘memastikan semua berada dalam kawalan’.
PSSI dijangka mengadakan kongres luar biasa pada 18 Mac untuk memiliki kepimpinan baru dan AFC berharap ia akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menyelesaikan krisis terbabit.
“Jika mereka gagal bersatu, seluruh aktiviti bola sepak di Indonesia boleh digantung. Ia akan menjadi penggantungan menyeluruh untuk Indonesia,” kata Soosay.
Soosay berkata perancangan untuk kongres itu menunjukkan ‘petanda positif’. “Jika mereka akur, semuanya kembali kepada normal,” katanya.
Penggantungan itu bermakna mana-mana pemain yang beraksi untuk kelab Indonesia termasuk penyerang negara, Safee Sali digantung untuk beraksi pada perlawanan antarabangsa. Pemain itu kini beraksi bersama kelab Pelita Jaya FC dalam liga yang berpecah itu, ISL serta baru menandatangani kontrak bernilai lebih RM2 juta.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Safee boleh beraksi untuk Malaysia selagi tiada sebarang arahan dikeluarkan Fifa atau AFC.
PSSI membuang dan mendenda beberapa kelab tahun lalu kerana menyertai liga yang memberontak itu.
Pemain sudah dihalang daripada menyertai skuad kebangsaan republik itu dengan PSSI menegaskan peraturan Fifa berkata pemain yang beraksi dalam liga tidak sah tidak boleh mewakili negara mereka di pentas antarabangsa. - AFP
No comments:
Post a Comment