JURULATIH dari Crotia, Bojan Hodak memulakan tugasnya, semalam, apabila ‘turun padang’ melatih pemain The Red Warriors, di Padang Mardi, Pasir Tumbuh, Kota Bharu.
Tinjauan mendapati Hodak serius mengawasi dan memberi tunjuk ajar kepada pemain sambil dibantu penolong jurulatih, Zahasmi Ismail dan Sidek Shamsuddin.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan diperoleh daripada jurulatih berusia 40 tahun itu kerana pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memaklumkan Hodak belum boleh ditemubual.
Semalam, Harian Metro melaporkan, Hodak diberi tanggungjawab melatih skuad Kijang apabila Peter James Butler menghilangkan diri selepas direhatkan pengurusan Kafa.
Sumber dipetik sebagai berkata, Hodak dilantik sebagai pengendali terbaru pasukan Kelantan untuk meneruskan perjuangan The Red Warriors.
Sementara itu, Butler pulang ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur malam tadi bagi mengadakan rundingan dengan pengurusan Kafa hari ini.
“Saya akan menghadiri satu perjumpaan dengan pengurusan Kafa bagi membincangkan pelbagai perkara yang berbangkit,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ketika ditanya mengenai status jawatannya dalam pasukan Kelantan, Butler enggan mengulas.
No comments:
Post a Comment