KUALA LUMPUR - Jutawan bola sepak negara, Safee Sali menjalani latihan bersama skuad kebangsaan di Wisma FAM dengan penuh bersemangat, walaupun keletihan kerana baru sahaja tiba dari Jakarta tengah hari semalam.
Biarpun sekadar menentang skuad bertaraf negeri, Sabah dan pasukan pada ranking 156 dunia Filipina, penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya itu tetap melahirkan rasa teruja dapat menyarung kembali jersi Harimau Malaya buat kali pertama tahun ini.
"Walaupun hanya akan berdepan Sabah dan Filipina, saya tetap positif dan cuba mencipta kemenangan kepada skuad negara dalam kedua-dua perlawanan ini.
"Kemenangan amat penting supaya dapat membina kepercayaan diri sendiri dan pasukan memandangkan ini aksi pertama saya pada tahun 2012 dengan pasukan negara.
"Saya harap kami dapat mencipta satu keputusan positif dalam kedua-dua perlawanan tersebut, " katanya ketika ditemui selepas latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Tanpa kehadiran Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo dan penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat berkemungkinan besar bakal menjadi gandingan Safee di bahagian serangan selain Zaquan Adha.
"Mungkin bukan rezeki saya untuk berlatih dengan Mat Yo buat masa sekarang kerana dia cedera ketika perlawanan terakhir ketika bertemu Sarawak.
"Namun ia memberikan ruang kepada saya membentuk keserasian dengan pemain lain dalam perlawanan persahabatan nanti seperti Abdul Manaf, " katanya.
Mengenai isu status Liga Super Indonesia (ISL), nada Safee masih sama apabila menegaskan dia yakin segalanya konflik akan berakhir menjelang bulan depan.
"Saya optimis semua akan diselesaikan dengan baik oleh PSSI (Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia), jika tidak, pihak pengurusan telah sediakan pelampung seandainya terjadi apa-apa situasi yang tidak diingini, " katanya.
No comments:
Post a Comment