Thursday, February 16, 2012

Stadium bergelap tidak dijangka


Suasana gelap di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin akibat masalah lampu limpah ketika perlawanan Liga Super di antara Terengganu dan Kedah. – utusan/AZLAN BAHRUM



KUALA TERENGGANU – Isu lampu limpah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang kembali hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu akhirnya memuncak apabila hampir 10,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan di antara Terengganu dengan Kedah terpaksa bergelap selama lebih setengah jam.



Insiden itu berlaku ketika pemain kedua-dua pasukan melangkah masuk ke padang untuk memulakan babak kedua perlawanan dengan tuan rumah mendahului 1-0 seminit sebelum berakhir babak pertama.

Mengulas mengenai insiden memalukan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh berkata, perkara itu sememangnya tidak dapat dielakkan.

“Lampu (limpah) padam itu biasalah. Setahu saya tahun ini di stadium lain pun ada lampu yang padam.

“Pada saya, masalah ini (lampu limpah) berlaku kerana gangguan bekalan elektrik yang tidak dijangkakan sama sekali.

“Justeru, saya harap masalah ini tak akan berlaku lagi. Kita akan serahkan kepada MBKT (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) untuk membuat keputusan mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Menyentuh mengenai prestasi Terengganu ketika menentang Kedah, Che Mat yang juga pengurus pasukan berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan perlawanan malam itu.

“Biarpun kita agak longgar di bahagian pertahanan kerana ketiadaan Mazuki (Yusof), saya tetap berpuas hati kerana mampu seri memandangkan tahun ini masuk tahun ketiga kita tak pernah menang dengan Kedah dalam Liga Super,” katanya.

Pada masa yang sama, Che Mat juga menolak spekulasi berhubung seorang lagi pemain import Terengganu, Erison Da Silva Santos Carnietto yang dikatakan semakin kurang mendapat kepercayaan daripada jurulatih, Mat Zan Mat Aris kerana direhatkan dalam perlawanan itu.

“Saya nasihatkan kepada semua pihak agar jangan cepat buat penilaian mengenai masa depan pemain itu.

“Tak semestinya dia tidak diturunkan sebab persembahan dia tak bagus sebab masa lawan Singapura (Lions XII) dulu, dia main bagus. Ini mungkin satu strategi,” ujar beliau.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi kejohanan Piala AFC yang bermula bulan depan pula, Che Mat memberitahu, setakat ini pasukannya sudah bersedia untuk bersaing dalam kejohanan peringkat Asia Tenggara itu.

“Persiapan kita sama saja. Tidak ada perbezaannya. Setakat ni, inilah pemain-pemain kita (yang akan membawa cabaran Terengganu) dalam kejohanan tersebut dan kita sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...