POSISI penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat mula tergugat apabila dia kini terpaksa bersaing merebut tempat bersama Mohd Farizal Marlias dan Mohd Sharbinee Allawee.
Ini terbukti apabila ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal menyenaraikan penjaga gol Negeri Sembilan, Farizal ketika Malaysia seri tanpa jaringan menentang Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa Jumaat lalu.
Namun Khairul Fahmi yang menerima pujian memiliki sepasang ‘tangan emas’ ketika membantu Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan Sukan Sea Indonesia tahun lalu tidak terkilan dengan keputusan pengendali negara itu sebaliknya bersedia bersaing untuk merebut posisinya bagi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura Jumaat ini.
“Memang saingan untuk berada dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan memang sengit. Apa saja keputusan bergantung kepada jurulatih kerana ia untuk kebaikan pasukan. Apa yang pasti semua pemain sudah bersedia tidak kira siapa yang akan bermain atau pun tidak,” katanya.
Khairul Fahmi yang mewakili skuad Liga Super Kelantan tidak beraksi ketika Malaysia tewas 3-5 di tangan Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu.
Namun dia yang turut dikenali dengan panggilan Apek cukup mengetahui kekuatan pasukan jiran itu apabila beraksi di Stadium Jalan Besar berdasarkan pengalaman menentang Lions XII dalam Liga Super.
“Pasukan Singapura ini bermain dengan tersusun dan mereka juga memiliki disiplin yang tinggi,” katanya yang yakin rekod tanpa kalah Singapura dalam tiga pertemuan di tempat sendiri sejak 2006 akan lebur kali ini.
Dalam pada itu, Rajagobal mengakui beliau ‘pening kepala’ memikirkan siapakah pemain yang bakal menjaga gawang negara dalam perlawanan itu nanti.
“Farizal bermain dengan baik ketika menentang Filipina tapi saya juga memiliki Khairul Fahmi dan juga Sharbinee. Saya mempunyai keyakinan terhadap ketiga-tiga penjaga gol ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment