Thursday, June 21, 2012

Justin direhatkan, 9-0 disiasat


Sumber: EspnStar.My

Justin Ganai telah direhatkan dari jawatannya sebagai ketua jurulatih Sabah FA sementara siasatan dijalankan ke atas kekalahan 9-0 dengan LIONSXII.
Akhbar New Straits Times melaporkan bahawa Sabah FA telah memaklumkan kepada Justin Ganai untuk berehat selepas mesyuarat pengurusan pasukan diadakan di Kota Kinabalu Isnin lepas.

Setiausaha Sabah FA, Ali Jus Sipil memberitahu, penolong jurulatih Andrew Majanggim akan mengambil alhi tugasnya buat sementara waktu.

Ali turut enggan memberitahu sebab mengapa Justin direhatkan namun difahamkan bahawa keputusan buruk 9-0 itu sedang dalam siasatan oleh Sabah FA.


"Penolong jurulatih, Andrew Majanggim kini akan mengambil alih jawatan Justin sehingga kami melantik jurulatih yang baru. Justin akan bekerjasama dengan kami dalam perkara yang lain yang akan kami beritahu kelak," kata Ali.

Dikhabarkan Justin telah dikecam hebat selepas Sabah tewas 9-0 kepada LIONSXII di Stadium Jalan Besar hujung minggu lepas.

"Pihak FA masih belum membuat keputusan tentang kedudukan Justin tetapi mungkin akan terdapat perubahan dalam beberapa minggu lagi.

"Kami perlu merehatkannya selama 14 hari kerana mengikut peraturan liga dan kemudian kami akan memberikannya peranan yang baru. Kami berterima kasih kepada Justin kerana khidmatnya." kata Ali lagi.

Justin merupakan jurulatih yang ketiga telah 'direhatkan' pada musim ini selepas K.Devan dan Peter Butler.

"Saya tiada alasan atas persembahan buruk pasukan terutama sekali dalam kekalahan besar dengan LIONSXII.

"Para pemain tidak beraksi mengikut arahan dan kami ditewaskan oleh pasukan yang lebih kuat kerana mereka mempunyai sembilan pemain nasional.

"Rumput tiruan juga salah satu sebab kami tewas sebanyak itu, secara jujurnya benteng pertahanan sangat mengecewakan." kata Justin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...