'
KAPTEN Kelantan, Mohd Badri Radzi mengingatkan rakan sepasukannya tidak mengambil mudah aksi menentang musuh tradisi, Terengganu dalam saingan Liga Super malam ini walaupun lawan dilihat tidak konsisten sejak akhir-akhir ini.
Katanya, skuad Penyu yang dikendalikan bekas jurulatih Kelantan, Peter James Butler itu mempunyai kekuatan tersendiri dan sudah membuktikan kemampuan pada musim ini apabila menjadi salah satu pencabar utama saingan domestik.
“Bagi saya peluang kedua-dua pasukan mencatatkan kemenangan seimbang. Seperti Kelantan, lawan turut mempunyai barisan pemain disegani seperti Ashaari Shamsuddin, Abdul Manaf Mamat serta penyerang berbisanya, Francis Forkey Doe.
“Namun, ia bukan alasan kepada kami untuk tidak tampil memberikan persembahan lebih mantap dengan tumpuan utama adalah meraih tiga mata penuh. Walaupun corak permainan kami dikatakan ‘buruk’ dalam tiga perlawanan terakhir, paling penting adalah mencari sekurang-kurangnya 10 mata lagi,” kata perancang tengah itu.
Pemain berusia 30 tahun itu dijangka terus diberikan kepercayaan merencanakan permainan The Red Warriors ketika gandingannya di bahagian tengah, Mohd Shakir Shaari tidak dapat bermain pada pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kerana menjalani penggantungan kad kuning.
Kelantan juga dijangka kehilangan pemain sayap lincah, S Chanturu yang mengalami kecederaan namun ia bukan masalah yang besar buat gergasi Pantai Timur itu yang mempunyai barisan pemain simpanan berpengalaman untuk diturunkan.
Andai berjaya membawa pulang tiga mata dari Kuala Terengganu, Kelantan hanya memerlukan tujuh mata daripada baki lima perlawanan bagi mengesahkan kejuaraan Liga Super sekali gus menafikan usaha kelab Singapura, LionsXII yang bersaing buat kali pertama musim ini untuk membawa pulang trofi utama saingan bola sepak tempatan ke republik itu.
“Seboleh-bolehnya kami mahu menamatkan saingan musim ini secepat mungkin walaupun lawan selepas ini bukanlah mudah dengan Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Felda United menanti manakala aksi menentang Sarawak di Kota Bharu menjadi penutup tirai,” katanya.
No comments:
Post a Comment