Saturday, June 16, 2012

Kelantan buru 19 mata lagi


Harian Metro

KELANTAN kini berada dalam landasan terbaik mempertahankan kejuaraan Liga Super apabila hanya perlu meraih sekurang-kurangnya 19 daripada 27 mata membabitkan baki sembilan perlawanan.

Sekiranya berjaya dilaksanakan, ia sudah mencukupi menafikan cabaran LionsXII walaupun kelab dari Singapura itu meraih mata maksimum dalam baki empat perlawanan menentang Sabah malam ini, Terengganu, T-Team dan Johor FC.


LionsXII kini mendahului saingan Liga Super dengan mengumpul 44 mata diikuti rapat Kelantan yang meraih 38 mata di tempat kedua. Pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim turut optimis, namun tetap melihat ia sebagai sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan oleh barisan pemain Kelantan terutamanya persembahan kurang memberangsangkan ketika menentang Johor FC yang menyaksikan The Red Warriors hanya mencatatkan keputusan seri.


“Peluang bergelar juara sekali lagi pada musim ini memang cerah, namun kami juga tidak boleh terlalu yakin seperti yang berlaku pada perlawanan menentang Johor FC. Kami tidak patut ambil mudah. Malah, perlawanan malam ini adalah getir selepas mengharungi rehat panjang terutamanya membabitkan aspek kecergasan pemain.


“Kemenangan 4-1 dalam perlawanan persahabatan menentang Angkatan Tentera Malaysia baru-baru ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana jurulatih (Bojan Hodak) hanya mencuba pemain ketika itu. Namun saya harap kemenangan mampu diraih malam ini,” katanya.


Kelantan menanti kunjungan Kedah di Stadium Sultan Mohamad ke-IV malam ini dengan kelebihan sokongan padu penonton di laman sendiri menjadi taruhan untuk membakar semangat pemain The Red Warriors bagi meraih tiga mata berharga.

“Walaupun Kedah adalah antara pasukan bawahan, mereka wajar diberikan perhatian serius. Seperti Kelantan, mereka turut mempunyai barisan pemain kebangsaan seperti Mohd Khyril Muhyameen Zambri dan Baddrol Bakhtiar serta beberapa pemain lain. Malah, kami turut mencatatkan keputusan seri dalam aksi separuh akhir Piala FA menentang Hijau Kuning,” katanya.


Selepas melayan kunjungan Kedah, juara Piala FA 2012 itu meneruskan saingan menentang Kuala Lumpur diikuti Sabah, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Felda United dan menanti kunjungan Sarawak pada pertengahan bulan depan sebagai perlawanan terakhir.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...