SKUAD Bawah 22 Tahun negara (B-22) menjadikan Filipina sebagai mangsa kebangkitan apabila merekod kemenangan besar 7-0 pada perlawanan kedua Kumpulan G Kejohanan Kelayakan Piala Asia 2013 B-22, semalam yang menyaksikan Rozaimi Abd Rahman muncul pemain paling menyinar dengan ledakan empat gol.
Ini kemenangan pertama cukup bermakna buat skuad kendalian Ong Kim Swee yang turun dengan misi memungut tiga mata penuh selepas dikecewa pasukan pilihan Korea Selatan, 2-3 pada aksi pembukaan Sabtu lalu.
“Saya berpuas hati dengan kemenangan pertama ini, tapi mengingatkan pemain supaya jangan cepat selesa. Saingan masih panjang dan kami masih ada baki tiga lagi perlawanan.
“Selepas ini kami berdepan Taiwan dan saya harap semua pemain mampu mengekalkan momentum,” kata Kim Swee yang dihubungi di Yangon, Myanmar selepas tamat perlawanan itu.
Ternyata percaturannya membuat rombakan dengan menurunkan Mohd Fadhli Shas, Gary Steven Robbart, Rozaimi dan pemain berusia 16 tahun, Muhammad Ariff Farhan Md Isa bagi menggantikan Muhammad Nazmi Faiz Mansor berjaya.
“Saya gembira dengan prestasi mereka khususnya Rozaimi yang memainkan peranan penting hari ini (semalam). Kemampuan Rozaimi membuktikan kami bukan hanya bergantung kepada pemain penyerang untuk mencipta jaringan,” kata Kim Swee.
Aksi garang dipamer skuad negara sebaik perlawanan di Stadium Aung San bermula apabila pemain tengah, Rozaimi membuka tirai jaringan pada minit kedua.
Namun, selepas itu Malaysia terpaksa menunggu selama 30 minit untuk membolosi kubu Filipina yang lebih banyak bertahan menerusi percubaan Mohd Fandi Othman sebelum Rozaimi menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-35.
Pemain sayap, Wan Zaharulnizam Zakaria meletakkan skuad negara terus selesa dengan kedudukan 4-0 sebelum tamat separuh masa pertama.
Bersambung ketika babak kedua, skuad negara terus mengasak dan Filipina dibimbing John Pomar Carmona gagal menyekat kelincahan pemain skuad Liga Super Sabah, Rozaimi untuk melakukan hatrik pada minit ke-68 menerusi sepakan penalti sebelum gol keempat di minit ke-73.
Pemain gantian, D Saarvindran melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia dengan jaringan ketujuh pada masa tambahan.
Malaysia menentang Taiwan pada perlawanan ketiga Khamis ini sebelum berdepan Vietnam (30 Jun) dan tuan rumah Myanmar (3 Julai) bagi merebut dua kedudukan terbaik Kumpulan G untuk mara ke final Piala Asia tahun depan.
No comments:
Post a Comment