Wednesday, June 27, 2012

Red Warriors persiakan dua gol


Harian Metro

KELANTAN perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaatkan kelebihan dua jaringan pada separuh masa pertama apabila terpaksa berkongsi satu mata menentang musuh tradisi, Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Keputusan seri 2-2 merencatkan usaha Kelantan untuk meraih tiga mata berharga dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Super dengan kini mengumpul 48 mata, ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga ketika ini, LionsXII namun tetap mempunyai kelebihan tiga perlawanan berbanding pasukan dari Singapura itu.


Pada aksi yang disaksikan kira-kira 10,000 penonton itu, Kelantan yang memburu kemenangan ketiga ke atas Terengganu pada musim ini bermula dengan persembahan bertenaga apabila mendahului lawan menerusi dua gol awal dengan pemain sayap, Norfarhan Muhammad membuka jaringan buat pelawat pada minit keenam menerusi rembatan dalam kotak penalti yang gagal ditepis penjaga gol Terengganu, Sharmiza Yusoff.

Ia diikuti jaringan cantik yang dihasilkan kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi pada minit ke-21 yang membakar semangat tuan rumah untuk mempamerkan cuba mempamerkan kebangkitan menerusi rembatan dalam kotak penalti penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-40.

Kebangkitan Terengganu yang memperkemaskan corak permainan gagal dikekang anak-anak buah Bojan Hodak apabila tonggak pertahanan lawan, Mohd Muslim Ahmad menanduk masuk gol penyamaan selepas lima minit babak kedua bersambung.

Jaringan terbabit jelas membantu Terengganu yang terus menguasai perlawanan terutamanya di bahagian tengah dalam merencanakan serangan berterusan ke kubu Kelantan dilihat semakin hilang punca sehingga memaksa Hodak memasukkan Nurul Azwan Roya pada minit ke-65 diikuti Mohd Ramzul Zahini Adenan menggantikan Norshahrul Idlan Talaha untuk menghidupkan semula jentera serangan Kelantan.

Langkah terbabit bagaimanapun gagal membuahkan hasil apabila Terengganu semakin rancak mengatur gerakan ke kubu lawan namun gagal menembusi Khairul Fahmi buat kali ketiga.

Sementara itu, Kuala Lumpur sah tersingkir ke Liga Perdana musim depan apabila tewas 0-1 kepada Johor FC dengan skuad kendalian Razip Ismail itu menghuni tangga tercorot dengan empat mata sekalipun masih berbaki lima perlawanan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...