Friday, June 1, 2012

Tidak gentar


Harian Metro

SKUAD Harimau Malaya melaungkan nada penuh meyakinkan untuk mengatasi Filipina di bumi sendiri di Stadium Shah Alam, hari ini apabila ketua jurulatih Datuk K Rajagobal mendedahkan beliau menyimpan rahsia kelemahan skuad Azkals itu.

Meskipun sedar barisan pemain Filipina yang dilatih pengendali dari Jerman, Hans Michael Weiss adalah barisan lebih kuat dan berbeza berbanding skuad yang ditentang Februari lalu, Rajagobal optimis dengan kemampuan anak buahnya kali ini.


“Saya sudah kenal pasti kelemahan skuad Filipina, saya sudah tonton video ketika mereka beraksi di Piala Cabaran di Nepal, pasukan kita ada kelebihan untuk mengatasi mereka,” katanya yang enggan mendedahkan kelemahan dimaksudkan kerana bimbang Weiss akan dapat mengesan strategi skuad negara.

Safiq Rahim dilantik selaku kapten berdepan Filipina yang kali ini diperkuat ramai pemain berpangkalan di Eropah.

“Kita mahukan kemenangan dan malam esok (malam ini) bakal menyaksikan kejutan dalam kesebelasan pemain terutamanya membabitkan pemain Kelantan dan Terengganu.

“Saya harap pemain bebas daripada kecederaan kerana kita masih ada satu lagi perlawanan persahabatan, menentang Singapura bulan depan,” kata Rajagobal yang enggan mengambil risiko menurunkan Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohamad Ashaari Samsudin kerana masih dibelenggu kecederaan.

Menurut Rajagobal, skuad negara perlu mengelak menghadiahkan sepakan percuma kerana kelebihan Filipina adalah dari segi set piece, tambahan pula pemain mereka memiliki kekuatan fizikal dengan ketinggian untuk mengatasi skuad negara selain kuat dari segi mental.

Menyedari dua penyerang prolifik negara Safee Sali sudah enam bulan tidak menjaringkan gol manakala Norshahrul Idlan Talaha pula tidak beraksi enam bulan, Rajagobal menaruh kepercayaan kepada semua pemain yang diturunkan tidak kira di posisi sayap, tengah mahupun pertahanan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...