Friday, June 1, 2012

FAM tak cadang tangguh Liga M


Harian Metro

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak bercadang menangguhkan semua perlawanan Liga Malaysia berikutan penahanan pengadil dari Pulau Pinang, Shokri Nor yang disabit kesalahan mengatur keputusan perlawanan.

Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan berkata, badan induk bola sepak negara itu masih menyiasat secara dalaman mengenai jenayah itu.


“FAM masih menyiasat mana-mana perlawanan yang kita rasa terbabit dengan gejala rasuah. Ada beberapa perkara sensitif kita tidak boleh dedahkan agar tidak mengganggu siasatan pihak polis,” kata Hamidin.

Beliau juga berkata setakat ini, FAM belum mengenal pasti berapa ramai pengadil terbabit dalam isu rasuah. “Sebelum ini ada juga kes membabitkan pemain dan kita menyiasat dengan mengambil kira semua aspek.” Shokri ditahan polis Singapura sebelum perlawanan Liga Super antara LionsXII menentang Sarawak dan didakwa di Mahkamah Singapura, semalam.

Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM juga meluluskan tambahan subsidi kepada RM100,000 setahun daripada RM50,000 untuk tiga ahli gabungan mereka, Persatuan Bola Sepak Melayu, Cina dan India.

Jawatankuasa Eksekutif itu juga bersetuju mendermakan 1 peratus daripada kutipan tiket setiap perlawanan Liga Malaysia kepada badan amal berbanding sebelum ini dengan sumbangan hanya diambil daripada kutipan tiket Piala Sumbangsih.

Kongres FAM Kelapan yang diadakan 7 Julai ini bakal membincangkan pindaan statut termasuk Artikel 88, seperti diminta Fifa. Selain itu, dua jawatankuasa exco wanita akan dibincangkan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...