Saturday, June 23, 2012

QPR ke Malaysia lawan Sabah, Kelantan



SEPANG - Seperti Arsenal dan Manchester City, Queens Park Rangers (QPR) milik Tan Sri Tony Fernandes juga menjadikan Malaysia sebagai destinasi menjalani persiapan pra-musim mereka apabila kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu semalam mengesahkan kunjungan sulungnya ke Asia, termasuk mengadakan dua aksi persahabatan di negara ini.

Tidak seperti kelazimannya perlawanan yang melibatkan kelab-kelab EPL sering dilangsungkan di ibu negara, Jelajah Asia 2012 QPR menjanjikan kelainan kerana ia merangkumi kedua-dua belah Semenanjung dan Timur Malaysia.


Skuad bimbingan Mark Hughes akan memulakan siri jelajah bertemu Pasukan Bintang-bintang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 17 Julai sebelum menyeberangi ke Semenanjung untuk diuji pula penyandang juara Piala FA, Kelantan di Stadium Shah Alam, 20 Julai.

Hoops akan mengakhiri kunjungan mereka menentang kelab Indonesia, Persebaya Surabaya di Stadium Gelora Bung Tomo pada 23 Julai.

Tony, yang mengambil alih QPR setahun lalu, menyifatkan kedatangan julung kali kelab miliknya itu ke negara ini sebagai kunjungan yang cukup istimewa.

"Saya tidak menyangka ia dapat dilaksanakan dengan begitu cepat. Sudah menjadi impian selama ini untuk membawa kelab saya ke Malaysia," kata Tony, yang bercakap kepada majlis pelancaran Jelajah Asia QPR 2012 menerusi telepersidangan di Akademi AirAsia di sini semalam.

Tony dan Hughes tidak berkesempatan hadir kerana berada di Korea Selatan untuk rundingan penajaan baru.

Majlis semalam disempurnakan Ketua Komersial Kumpulan AirAsia, Kathleen Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif QPR, Philip Beard.

Mengenai kunjungan QPR ke Malaysia, Beard berkata: "Adalah satu penghormatan untuk QPR datang bermain di Malaysia dan Indonesia bulan depan. Semua di kelab ini begitu teruja dengan jelajah ini.

QPR yang terselamat daripada penyingkiran pada hari terakhir musim EPL bulan lalu, telah pun mengorak langkah awal memantapkan skuad sedia ada dengan menandatangani tiga tonggak berpengalaman iaitu pemain pertahanan Ryan Nelsen (Blackburn), penyerang Andrew Johnson (Fulham) dan penjaga gol Robert Green.

Peminat-peminat bola sepak tempatan juga berkesempatan menyaksikan sendiri kelibat barisan bintang lain seperti Djibril Cisse, Shaun Wright Phillips, Bobby Zamora, Anton Ferdinand dan Adel Taarabt.

Namun kalau ada di antara anda yang meminati 'budak nakal' Joey Barton, maka janganlah terlalu mengharap kerana dia disahkan Hughes tidak akan menyertai jelajah ini.

Barton dijangka tidak berada dalam perancangan Hughes sekurang-kurangnya sehingga November selepas dihukum menjalani penggantungan sebanyak 12 perlawanan dan denda 75,000 pound oleh FA England ekoran insiden dia mengasari Sergio Aguero dan cuba menanduk Vincent Kompany ketika perlawanan terakhir musim menentang City.

Peminat-peminat yang berminat mengetahui lanjut mengenai penjualan tiket menerusi laman www.redtix.airasia.com. Harga tiket ditetapkan di antara RM30 dan RM200.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...