BEKAS pemenang Kasut Emas 2006, Keita Mandjou akan memperkuatkan cabaran The Red Warriors yang bercita-cita mahu melangkah jauh dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Keita, 32, yang menggantikan Nwoha Onyekachi yang tamat kontraknya, akan mengukuhkan jentera serangan Kelantan bersama-sama Mohammad Ghaddar dan Norshahrul Idlan Talaha.
Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dalam laman Facebooknya apabila menyatakan persetujuan sudah dicapai dan pemain Guinea itu dijangka tiba di Kota Bharu minggu depan.
Dalam kenyataan sama, Annuar berkata, Keita yang beraksi bersama kelab India, Pune FC akan beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Tentera di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 8 Jun ini.
Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim ketika dihubungi berkata, pengambilan Keita adalah untuk diserapkan dalam skuad AFC.
“Memang kita ambil dia (Keita) untuk menggantikan Nwoha yang tamat kontrak dan Keita bakal beraksi untuk saingan AFC. Dia dijangka tiba di Kota Bharu minggu depan.
“Setakat saya tahu, Keita akan diuji dalam perlawanan persahabatan menentang ATM, 8 Jun ini dan kita berharap kehadirannya akan menguatkan lagi pasukan,” katanya.
Selepas layak ke peringkat suku akhir Piala AFC, gergasi Pantai Timur itu kini tampak lebih serius untuk menempa nama di persada antarabangsa dan pengambilan Keita dilihat satu persiapan rapi untuk melakukan kejutan musim ini.
No comments:
Post a Comment