Friday, June 8, 2012

Annuar saman FAM




KOTA BHARU 7 Jun - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang digantung, Tan Sri Annuar Musa (gambar) telah memfailkan saman pemula terhadap badan induk bola sepak negara itu berhubung kes penggantungannya.

Saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin melalui tetuan Jaswant & Kamaruddin.


Dalam saman tersebut, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menamakan FAM sebagai defendan pertama dan Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad defendan kedua.

Annuar berkata, tindakan itu dibuat bukan untuk mencabar hukuman telah dijatuhkan ke atasnya, tetapi ia berkaitan dengan perlanggaran undang-undang yang dibuat dalam menjatuhkan hukuman tersebut.

"Jangan silap faham. Ada dua aspek mengenai urusan dalam sukan. Tidak timbul soal mencabar hukuman, itu memang sudah dalam bidang kuasa FAM dan mahkamah pun tidak akan mendengar pertikaian berkenaan hal sukan.

"Ramai yang keliru dalam hal ini. Yang saya bawa ini adalah perkara-perkara berkaitan perlanggaran undang-undang mengenai proses saya dihukum. Saya tidak bawa hal sukan ke mahkamah.

"Yang saya bawa adalah tentang proses macam mana kaedah perundangan ke atas saya yang didapati bercanggah dengan undang-undang negara dan saya telah menyenaraikannya," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Annuar memberitahu, beliau berharap dapat pertimbangan sewajarnya daripada mahkamah berkaitan kesnya.

"Saya mahu FAM mematuhinya. Adalah mustahak buat FAM apabila melaksanakan sesuatu perkara yang dianggap dan seolah-olah diberitahu kelihatan dari segi undang-undang, tetapi sebenarnya tidak mematuhi undang-undang.

"Jadi, apabila ada orang kena dia diam, kena lagi dia diam. Orang ingat amalan itu betul, kadang-kadang tidak betul. Tambah-tambah lagi apabila kita mempunyai niat jahat.

"Kita tahu ada Artikel 88, apabila ada orang membuat kenyataan tidak diambil tindakan. Ada orang yang nak kita hukum, kita hukum. Semua orang tahu perkara ini. Banyak orang yang tidak mempunyai kebenaran bercakap tidak kena hukum dan orang yang tidak suka terus dihukum," tegasnya.

Kata Annuar, perkara itu perlu diperbetulkan, begitu juga apabila seseorang dihukum ia perlu ada syarat ketelusan dalam hukuman tersebut.

"Jika dihukum, kita dinafikan hak menggunakan khidmat guaman, belum lagi dibicara sudah dikatakan salah, berlaku subjudis dan ini mencacatkan undang-undang," ujarnya

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...