Saturday, June 2, 2012

Penyerang tiada taji


CEKAP...Farizal (tengah) menghalang cubaan   pemain Filipina.
CEKAP...Farizal (tengah) menghalang cubaan pemain Filipina.


FILIPINA tidaklah terlalu Eropah, namun penyerang Datuk K Rajagobal terlalu tumpul untuk membolosi benteng terakhir skuad Azkals.

Sembilan daripada kesebelasan utama Filipina adalah pemain yang berpangkalan di Eropah, namun itu bukan cerita utama kerana rembatan ke langit skuad negara lebih mendapat perhatian.

Dengan peluang terbaik terhidang tidak terkira banyaknya, cubaan rangkaian penyerang negara Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim dan Shahurain Abu Samah, satupun tiada yang tepat ke gawang Filipina.

Skuad bimbingan Rajagobal lebih kreatif di babak pertama apabila lebih banyak mengancam benteng pertahanan Filipina yang diketuai penjaga gol Roland Richard Muller.


Begitupun skuad Harimau Malaya mengundang padah dengan kealpaan pertahanan melakukan hantaran ke belakang hampir membuatkan gawang negara yang dikawal Mohd Farizal Marlias dibolosi seawal minit pertama.

Hantaran lintang cantik juga kerap dilakukan S Kunalan dengan 'dummy' oleh Norshahrul tetapi sayang gagal disepak kemas Safee.

Serangan Filipina sebaliknya lebih terarah kepada penyerang tinggi lampai Angel Guirado, namun tidak cukup tajam menyaksikan separuh pertama berkesudahan tanpa jaringan.

Di babak kedua, penguasaan skuad negara berterusan namun masalah sama berlaku iaitu ketumpulan penyudah.

Safiq memiliki empat peluang terbaik menjaringkan gol termasuk sepakan percuma namun ketepatan menjadi kepincangan terbesar.

Kemasukan S Chanturu juga gagal mengubah senario di atas padang. Penguasaan bola dan serangan bertali arus gagal memecah kebuntuan menyaksikan Rajagobal sekali lagi menyuarakan rasa puas hati dengan sejumlah 16 peluang di depan gawang yang dipersia-siakan.

Selepas ini ada dua lagi perlawanan persahabatan buat skuad Harimau Malaya, iaitu berdepan Singapura di gelanggang lawan dan di Stadium Shah Alam iaitu pada 8 dan 12 Jun ini.

Sebelum ini pemain Rajagobal seri 1-1 dengan Filipina di tempat lawan, menang ke atas Sri Lanka 6-0, Kelantan 5-0, Sabah 1-0 dan seri 1-1 dengan Sarawak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...