PENGENDALI Terengganu, Peter James Butler tersenyum puas selepas anak buahnya kembali menemui sentuhan pemusnah apabila berjaya menumpaskan skuad ‘adik’ T-Team, 3-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Jumaat lalu.
Kemenangan bergaya itu kemenangan kali pertama buat pengendali dari England itu selepas mengambil alih tugas daripada jurulatih Mat Zan Mat Aris 1 Jun lalu.
“Saya puas hati dengan persembahan pemain yang sentiasa bekerja keras memburu jaringan dan hasilnya kita berjaya mencatat kemenangan besar,” katanya yang mengaku tidak merasai kehilangan penyerang import, Francis Forkey Doe kerana pemain lain terutama Abdul Manaf Mamat dan Abdul Hadi Yahaya mampu memikul tugas yang diberikan.
Sementara itu, jurulatih T-Team, Yunus Alif tidak senang dengan aksi dipamerkan anak buahnya yang agak longgar dan terlalu memberi ruang kepada lawan menguasai permainan.
“Saya harap pemain mampu bangkit pada pertemuan dengan Selangor di laman lawan, malam esok terutama untuk memburu tiga mata bagi memperbaiki kedudukan liga,” katanya yang turut mengharapkan kapten, Zairo Anuar Zailani sembuh daripada kecederaan.
No comments:
Post a Comment