Friday, June 15, 2012

Harimau ke Eropah


Harian Metro

SKUAD Harimau Malaya bercadang untuk mengadakan latihan dan siri perlawanan persahabatan di Eropah selepas kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United mengesahkan tidak akan singgah ke Kuala Lumpur bagi jelajah pra-musim mereka Ogos ini.

Perkara ini dimaklumkan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal yang menyatakan Austria dan Hungary antara senarai lokasi skuad kendalian Datuk K Rajagobal sebelum mengharungi kejohanan Piala Suzuki AFF, November ini.


“Atas pandangan jurulatih, kita bercadang mengadakan sesi latihan di luar negara pada Ogos ini. Setakat ini cadangan awal adalah untuk ke Austria atau Hungary.

“Sebelum ini Manchester United dikhabarkan mungkin datang ke Malaysia pada Ogos tapi semalam (kelmarin) saya dimaklumkan kelab itu tidak ke sini kerana memilih lokasi lain,” katanya selepas majlis pelancaran tiket perlawanan Pilihan Malaysia menentang Arsenal, semalam.

Jika program ke Eropah itu menjadi kenyataan, skuad kebangsaan akan melayan kunjungan Arsenal dan Manchester City pada 24 dan 30 Julai sempena Jelajah Asia dua kelab EPL itu ke Kuala Lumpur.

Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, pihaknya cuba mengatur perlawanan berstatus A menentang pasukan kebangsaan termasuk Vietnam yang kini berada di ranking lebih tinggi, 98, berbanding Malaysia 154.

“Kami juga memohon untuk bermain dengan Vietnam kerana saya fikir kalau mereka tidak diundi dalam pasukan sama, lebih baik Harimau Malaya mengadakan perlawanan dengan Vietnam yang mempunyai ranking lebih tinggi. Tetapi sehingga kini, kami masih belum mendapat sebarang jawapan yang pasti untuk perkara itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...