Saturday, June 2, 2012

‘Segera selesaikan’


Harian Metro

BEKAS jurulatih Terengganu, Irfan Bakti mengharapkan kemelut penamatan kontrak Mat Zan Mat Aris dapat diselesaikan segera dengan cara terbaik oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Jurulatih berusia 60 tahun yang kini mengendali pasukan Selangor tidak mahu melihat Mat Zan yang mengambil tempatnya sebagai ketua jurulatih Terengganu akhir musim lalu teraniaya akibat penamatan awal kontrak dua tahunnya.

Irfan yang mengaku masih sayangkan pasukan Penyu berkata, masalah luar padang boleh memberi kesan kepada prestasi dalam padang dan dia cuma mahukan yang terbaik untuk pasukan yang pernah dibimbingnya selama dua tahun itu.


“Bagi saya, seorang jurulatih memerlukan masa secukupnya untuk membentuk pasukan mantap dan agak malang buat seorang jurulatih jika khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi selepas beberapa bulan bertugas.

“Saya juga memerlukan masa untuk membentuk pasukan berwibawa ketika mengambil tempat (Ken) Worden dulu dan cuma di tahun kedua, kami berjaya menjadi juara Piala FA, naib johan Piala Malaysia dan menduduki tangga kedua Liga Super,” katanya.

Namun, kata jurulatih kelahiran Kelantan itu, sekiranya perpisahan sudah tidak dapat dielakkan lagi maka kedua pihak perlu berpisah dengan cara baik supaya prestasi pasukan tidak terjejas akibat masalah luar padang.

“Jalan penyelesaian akan dapat dicari sekiranya kedua belah pihak memahami isi kandungan kontrak yang ditandatangani namun semua yang terbabit perlu jujur, telus dan tidak mencari peluang untuk kepentingan sebelah pihak,” katanya.

Sementara itu, Mat Zan yang menamatkan tempoh ‘rehat’ selama sebulan semalam, berkata masih belum ada berita daripada persatuan mengenai kedudukannya dalam pasukan.

Jurulatih berusia 54 tahun yang tempatnya kini diambil oleh bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler, berkata tidak keterlaluan untuknya meminta majikannya membayar gajinya sehingga hujung tahun ini kerana dia mengikat kontrak selama dua tahun.

“Saya ada meminta pandangan nasihat daripada beberapa jurulatih lain yang pernah ditamatkan kontrak lebih awal dan saya mendapati majikan mereka bertindak adil dan saksama dengan membayar pampasan yang sewajarnya.

“Saya juga ingin mendapat sedikit keadilan daripada majikan saya dan berharap mereka akan menghubungi saya dengan berita yang lebih menggembirakan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Pada masa sama, isu penamatan kontrak Mat Zan yang menemui jalan buntu pada masa ini juga mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat.

Namun menurut Rozi yang ditemui ketika pelancaran program mencari bakat baru pelumba motosikal, Evolusi R, di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu kelmarin, berkata pihaknya cuma memantau keadaan buat masa ini.

“Belum masanya untuk kami masuk campur dalam hal dalaman ini dan kami yakin pihak persatuan dapat menangani masalah terbabit dalam masa terdekat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...