Monday, June 18, 2012

Kalah teruk di luar dugaan - Justin Ganai



KOTA KINABALU - Jurulatih Sabah, Justin Ganai mengakui kekalahan memalukan 0-9 akibat dibelasah Lions XII dalam aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar kelmarin, merupakan sesuatu yang di luar dugaan.

Ia adalah kekalahan paling teruk dalam sejarah pasukan itu, sekali gus kekalahan ketujuh dan ketiga berturut-turut buat Sabahselepas dibenam oleh pasukan Sarawak 1-0 dan T-Team 2-1 pada aksi sebelum ini.

Bagaimanapun, Justin tidak akan sama sekali menjadikan kekalahan perit itu sebagai penamat perjuangan pasukan bimbingannya.


Dalam nada kecewa, beliau mengakui faktor kecederaan yang membelenggu beberapa pemain utamanya merupakan punca utama kepada episod sedih itu.

Jelasnya, antara pemain yang mengalami kecederaan termasuklah kapten, Mohd. Reithaudin Awang Emran dan tiga tonggak tengah, Mohd. Fariss Azlan Mat Isa, Sumardi Hajalan dan Zuraindey Jumai.

"Sumardi terpaksa dikeluarkan setelah 17 minit beraksi akibat kecederaan buku lali selain penyerang utama Bobby Gonzales yang turut baru pulih daripada kecederaan lamanya.

"Selain itu kita kehilangan beberapa pemain yang digantung perlawanannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sabah kini menduduki tangga kesebelas dengan 19 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.

Tanpa berselindung dengan alasan tersebut, Justin tetap menghormati Lions XII yang disifatkannya sebagai sebuah pasukan hebat dengan dibarisi sembilan pemain kebangsaan negara tersebut.

"Mereka memang pasukan yang bagus selain dibantu dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri," katanya.

Perlawanan terdekat Sabah adalah menentang PKNS di laman sendiri pada Selasa ini, lantas Justin menggesa pemainnya agar bangkit dari kekecewaan dan menunjukkan semangat juang yang tinggi.

"Sudah tentu kita mahu menang perlawanan dengan PKNS sebagai bekalan motivasi sebelum bertandang ke Stadium Sultan Mohd Ke-IV menentang Kelantan pada 23 Jun nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...