TIDAK sukar untuk jurulatih skuad Bawah 22 tahun negara (B-22), Ong Kim Swee meramal kekuatan skuad B-22 Korea Selatan memandangkan pasukan itu secara tradisinya dilabel sebagai pasukan pilihan dalam mana-mana kejohanan rantau ini.
Namun, pengendali negara itu yakin ada sedikit kelebihan dimiliki anak buahnya untuk mencipta kejutan atau sekurang-kurangnya meraih satu mata pada aksi pembukaan Kumpulan G Kejohanan Kelayakan Piala Asia 2013 B-22 di Stadium Thuwunna, di Yangon Myanmar.
Dengan perlawanan bakal berlangsung jam 3.45 petang (4.45 petang waktu Malaysia) dan suhu dijangka sekitar 30 darjah selsius, skuad muda negara yang bakal diketuai Mohd Irfan Fazail tampak lebih selesa berbanding Korea.
“Saya tidak mendapat banyak maklumat mengenai pasukan Korea dalam kempen kelayakan ini tapi kita semua sedia maklum, Korea sebuah pasukan yang mempunyai reputasi hebat di Asia. Malah pasukan senior mereka juga sudah beberapa kali layak ke Piala Dunia.
“Korea cukup dikenali dengan corak permainan pantas tapi kita harus ingat, perlawanan kali ini akan diadakan jam 3.45 petang dan bukan mudah untuk mereka mempamerkan corak permainan sama dalam cuaca yang agak panas.
“Sedangkan kita sedikit sebanyak sudah biasa dengan cuaca ini, mungkin ia tidak memberi banyak kelebihan tapi pemain perlu bijak mengeksploitasi kelemahan lawan,” kata Kim Swee.
Berdasarkan senarai pemain dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Korea menerusi laman web rasminya, hampir semua pemain skuad kendalian Kim Tae-Young itu diwakili pelajar universiti kecuali Yang Han-Bin, Ma Sang-Hoon dari kelab Gangwon FC dan Lee Jong-Sung dari Sangju Sangmu.
Ini kerana skuad utama mereka memberi perhatian kepada persediaan menghadapi Sukan Olimpik London selepas berjaya melepasi pusingan kelayakan sebelum ini.
Bagaimanapun skuad negara bakal beraksi tanpa tonggak pertahanan tengah, Mohd Fadhli Shas dan pemain sayap lincah, Wan Zack Haikal Wan Noor yang digantung perlawanan.
Namun, dengan persiapan rapi menerusi latihan dan perlawanan persahabatan di Eropah termasuk aksi positif ketika menewaskan Qatar, 2-0 di Stadium Shah Alam, Ahad lalu, Kim Swee menaruh harapan tinggi kepada anak buahnya.
“Saya tidak bimbang dengan ketiadaan Fadhli kerana sudah menguji gandingan Shahrul Saad dan Mohd Fandi Othman. Tambahan pula (Mohammad) Amer Saidin sudah kembali pulih. Saya tahu Korea pasti akan melancarkan serangan dan saya mahu semua pemain fokus dan memberikan tentangan,” katanya.
Selain Korea, Malaysia akan berdepan Filipina pada 25 Jun, Taiwan (28 Jun), Vietnam (30 Jun) dan Myanmar (3 Julai) bagi merebut salah satu daripada dua slot Kumpulan G ke final Piala Asia B-22 tahun depan.
No comments:
Post a Comment