TIDAK kira Singapura akan menurunkan barisan pemain lama atau baru, ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal sentiasa berwaspada bagi mengelak Harimau Malaya daripada terus dipalit kekecewaan pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Jalan Besar malam ini.
Baginya, pasukan lawan bimbingan Radojko Avramovic itu yang dibarisi sebahagian besar pemain skuad Liga Super, LionsXII jelas mempunyai kelebihan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di gelanggang padang rumput tiruan.
“Mereka bermain hampir setiap minggu dan itu dapat membantu mereka. Muda atau berpengalaman mereka tetap sama. Bukankah mereka masih pasukan negara Singapura?” kata Rajagobal dalam laporan akhbar dalam talian Singapura, cyberita.asia1.com.sg semalam.
Rajagobal yang mengadakan latihan tertutup di venue perlawanan sejak tiba di Kota Singa itu kelmarin turut menegaskan kunjungan Harimau Malaya kali ini bukan membawa misi membalas dendam atas kekalahan 3-5 di tangan Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 Julai lalu.
“Saya tidak memikirkan mengenai membalas dendam. Pasukan saya tumbang di tangan sebuah pasukan yang berpengalaman,” katanya.
Biarpun sekadar aksi persahabatan, pertembungan Malaysia dan Singapura sentiasa sengit jika diambil kira rekod sebelum ini. Namun pasukan Singa tampak mempunyai kelebihan dari segi rekod pertemuan apabila tidak pernah tewas dalam tiga perlawanan di gelanggang sendiri sejak 2006.
Kemenangan amat penting buat anak buah Rajagobal menyuntik keyakinan dalam persiapan mempertahankan Piala Suzuki AFF November ini selain memastikan ranking negara di tangga ke-154 dunia tidak terus merosot.
Dengan ketiadaan Wan Zack Haikal Wan Noor, Mohamad Ashaari Samsudin yang dihimpit kecederaan manakala tahap kecergasan Mohamad Aidil Zafuan dan Mohamad Azmi Muslim masih diragui, skuad kebangsaan bakal berdepan tugas mencabar apabila Avramovic sedia menurunkan kesebelasan utamanya.
Biarpun ketiadaan kapten, Shahril Ishak yang mengalami kecederaan bahu, jurulatih kelahiran Serbia itu masih mempunyai pilihan termasuk menurunkan enam pemain yang sedang menjalani latihan Khidmat Negara, Safuwan Baharudin, Shakir Hamzah, Khairul Nizam, Shaffiq Ghani, Yasir Hanapi dan Hariss Harun.
Baihakki Khaizan yang mengetuai skuad itu ketika tewas 0-1 kepada Hong Kong dalam aksi persahabatan baru-baru ini bakal memikul tanggung jawab itu sekali lagi manakala penyerang veteran, Aleksandar Duric turut berada dalam senarai untuk dipanggil pada saat akhir.
“Walaupun kami masih mempunyai beberapa pemain yang cedera, kami akan menurunkan kesebelasan pertama yang mantap,” kata Avramovich.
No comments:
Post a Comment