Monday, June 18, 2012

Tonik terbaik skuad Kim Swee


Harian Metro

INSIDEN layangan kad merah kepada pemain muda sensasi, Muhammad Nazmi Faiz Mansor sedikit mencacatkan aksi mantap skuad Bawah 22 Tahun negara (B-22) yang menumpaskan Qatar B-22, 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, petang semalam.

Nazmi, 17, yang bakal beraksi dengan kelab Portugal, Beira-Mar bulan depan diarah keluar padang oleh pengadil tempatan, Nagor Amir Noor Mohamed kerana menumbuk Abdelkarim Hassan Fadlalla di hujung babak pertama akibat tidak puas hati tindakan pemain Qatar itu melakukan terjahan keras ke arah Mohd Azrif Nasrulhaq.


Keadaan selepas itu mula tegang selepas pemain kedua-dua pasukan saling tolak-menolak namun berjaya ditenangkan Nagor yang turut melayangkan kad merah kepada Abdelkarim.

Biarpun beraksi dengan 10 pemain, skuad negara kendalian Ong Kim Swee berjaya menambah gol kedua pada minit ke-68 menerusi rembatan pemain gantian Rozaimi Abd Rahman selepas kapten, Mohd Irfan Fazail terlebih dulu menceriakan hampir 5,000 penonton menerusi sepakan percuma menarik yang menerjah gawang Qatar di minit ke-26.

Kim Swee yang ditemui selepas tamat perlawanan puas hati dengan kemenangan itu yang dianggap tonik terbaik sebelum menghadapi perlawanan pertama Kumpulan G menentang Korea Selatan pada kejohanan kelayakan Piala Asia 2013 B-22 di Myanmar 23 Jun ini.

“Ini kemenangan terbaik untuk pasukan ini kerana bukan mudah menewaskan pasukan Timur Tengah. Kemenangan ini akan memberi keyakinan kepada pemain sebelum ke Myanmar.


“Kita sepatutnya boleh meraih lebih jaringan jika pemain tidak mengambil mudah peluang yang dicipta. Namun saya puas hati kerana kita berhak menang perlawanan ini,” katanya.

Mengulas insiden kad merah Nazmi, pengendali negara itu berkata: “Kita bernasib baik kerana Nazmi masih boleh beraksi di pusingan kelayakan di Myanmar kerana kad merah perlawanan ini tidak dikira. Namun saya harap Nazmi mendapat pengajaran daripada insiden ini untuk menjadi pemain lebih matang.” Sementara itu, Nazmi mengaku gagal mengawal emosi ketika beraksi dalam perlawanan itu.

“Saya tidak dapat mengawal emosi, memang saya akui tindakan itu tidak bagus, InsyaAllah perkara ini tidak akan berlaku lagi. Saya akan fokus kepada perlawanan di Myanmar,” katanya.

Skuad negara mampu mencipta kemenangan lebih besar jika Azrif dan Irfan melakukan penyudah lebih tepat ketika hanya berdepan penjaga gol Qatar, Salam Fawaz Saad pada awal permainan. Satu-satunya peluang terbaik Qatar yang beraksi dalam dalam Kumpulan C di pusingan kelayakan di Melaka adalah menerusi percubaan Mohamerd Salah Elneel yang terkena tiang gol.

Jurulatih Qatar, Alain Andre Christian Perrin terkejut dengan persembahan Malaysia yang menunjukkan peningkatan selepas tumpas 0-4 dalam aksi persahabatan di Doha, Qatar tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...