Penyerang Harimau Malaya, Safee Sali telah dikritik hebat setelah gagal menjaringkankan gol dalam beberapa perlawanan persahabatan Malaysia baru-baru ini.
Safee Sali kini berada di Singapura bersama pasukan kebangsaan bagi perlawanan persahabatan pertama dengan skuad Singa malam ini.
Selepas Harimau Malaya hanya mampu seri 0-0 dengan Filipina minggu lepas, pemain kelab Pelita Jaya itu telah dikritik hebat kerana gagal menghasilkan gol dan kecergasannya juga telah dipertikaikan.
Namun, Safee masih cekal dan tabah walaupun kemampuannya telah diragui.
"Saya sudah biasa dengan kritikan dan situasi seperti ini kerana sebelum ini sebelum kami menjuarai Piala AFF juga saya mengalami perkara yang sama." kata Safee kepada ESPNSTAR.my
"Dari segi persembahan dengan Filipina hari itu, saya berpuas hati cuma saya tidak menjaringkan gol. Kami masih lagi mancari keserasian dalam pasukan dan perlukan masa.
"Tiada apa yang istimewa dengan pasukan Filipina pada perlawanan itu. Mereka hanya lebih fizikal kerana kebanyakan mereka beraksi di kelab Eropah.
Tetapi saya rasa kami tetap berjaya menguasai perlawanan." kata Safee lagi.
Jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Datuk K.Rajagobal dijangka akan menurunkan Safee Sali pada perlawanan dengan Singapura malam ini dan beliau masih yakin dengan kemampuan Safee.
Rajagobal juga percaya Safee seorang yang profesional dan mampu menangani kritikan dan situasi seperti ini.
"Saya beterima kasih kerana jurulatih masih percayakan saya. Beliau sentiasa memberi sokongan dan memberitahu agar bersabar kerana gol akan datang." tambah Safee.
Safee juga berharap agar penyokong sentiasa berada di belakang mereka dalam apa jua situasi sekalipun kerana sokongan padu mereka penting buat pemain.
"Penyokong harus banyak bersabar dengan persembahan skuad Negara. Kami masih membuat persiapan dan jangan terlalu mengikut emosi dan mengutuk sesuka hati.
"Ini perkara biasa di mana terdapat naik turunnya persembahan sesebuah pasukan. Kami juara Piala AFF tahu tekanan berat harus dipikul jadi mereka harus terus menyokong dan bersabar."
No comments:
Post a Comment