KUALA LUMPUR - Pemain kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani  bakal berangkat ke Portugal hari ini dan jika kontraknya tiada sebarang masalah,  dia dijangka memulakan aksi bersama kelab Divisyen Tiga, Atletico Sport Clube  Reguengos (Atletico S.C) pada 6 Januari ini. 
Menurut pengurus peribadi, Faisal Zakariah, Fakri akan menandatangani kontrak  enam bulan sebaik tiba di Evora, Portugal bagi mendapatkan sijil perpindahan  antarabangsa (ITC) secepat mungkin.
"Dia akan berangkat dari tanah air esok (hari ini) dan singgah ke England  sebelum terbang ke Portugal beberapa hari kemudian.
"Berdasarkan maklumat yang saya terima, Atletico S.C mempunyai perlawanan  pada 6 Januari, aksi pertama pada bulan Januari dan Fakri berpeluang cerah untuk  diturunkan sekiranya ITC dapat diperolehi dengan segera, " katanya ketika  dihubungi di London, semalam.
Fakri, pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menjadi pemain kedua selepas  Nazmi Faiz Mansor yang kini bersama pasukan Bawah 19 Beira-Mar bakal bermain di  bumi Portugal selepas menerima tawaran enam bulan daripada Atletico S.C.
Mempunyai kebolehan bermain di banyak posisi seperti bahagian penyerang,  sayap kanan dan tengah, bekas pemain Felda United, Negeri Sembilan dan Perlis  itu merupakan antara pemain yang sering menjadi pilihan ketua jurulatih, Datuk  K. Rajagobal untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
Fakri pernah mendapat tawaran tersebut melalui ejennya, Marco Guimares pada  Ogos lalu tetapi terpaksa menolaknya kerana terlibat dengan komitmen Piala  Malaysia di samping mahu memberi fokus kepada persiapan Piala Suzuki AFF.
Di samping itu difahamkan Fakri juga mendapat tawaran daripada Divisiyen Satu  tetapi melihat peluang beraksi dengan Atletico S.C yang dibimbing Paulo Simao  lebih cerah kerana beraksi di Divisyen Tiga.

 
 

No comments:
Post a Comment