TIADA rasa resah menyelubungi benak fikiran pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim meskipun persiapan juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali itu menjelang kempen Liga Malaysia musim depan dilihat agak goyah.
Segala-galanya selepas anak buahnya dikatakan gagal mempamer aksi memberangsangkan pada saingan Piala Gabenor Aceh 2012 yang berakhir Sabtu lalu yang menyaksikan Selangor terkandas pada saingan separuh akhir selepas tewas 1-3 kepada juara Liga Perdana Indonesia (IPL), Semen Padang.
Seolah-oloh bersetuju dengan pandangan itu, ketua jurulatih Semen Padang, Suhatman Imam melabelkan Negeri Sembilan, pasukan yang ditemui anak buahnya pada perlawanan persahabatan antarabangsa Piala Nusantara kelmarin, mempamer aksi lebih baik berbanding Selangor dan juara Liga Super Malaysia, Kelantan.
Namun Irfan tidak cepat melatah, sebaliknya menganggap ia adalah pandangan peribadi Suhatman dan beliau menegaskan lebih mengetahui kemampuan anak buahnya.
“Terkejut juga saya lihat kenyataan itu, tapi tidak mengapalah sebab itu pandangan beliau. Lagipun ketika itu (perlawanan separuh akhir), saya hanya mempunyai 14 pemain dan tidak menurunkan beberapa pemain utama seperti Forkey (Doe) dan Asraruddin (Putra Omar) berbanding pihak lawan.
“Saya tidak pernah berasa bimbang kerana sepanjang aksi persahabatan termasuk saingan Piala Gabenor, saya tidak dapat mengumpulkan semua pemain.
“Hanya baru tadi (semalam) saya dapat bertemu dan mengumpulkan semua pemain,” katanya.
Suhatman menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, Negeri Sembilan yang ditewaskan pada perlawanan persahabatan kelmarin sebuah pasukan yang bersifat kolektif, bergerak sebagai sebuah pasukan dan lebih baik berbanding Selangor serta Kelantan.
Jelas Irfan, anak buahnya akan menghadapi tiga lagi perlawanan persahabatan selepas ini iaitu bertemu Sabah esok sebelum menentang Perlis dan Kedah masing-masing pada 28 dan 30 Disember ini.
“Tiga aksi persahabatan terakhir ini akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk menguji semua pemain,” katanya.
No comments:
Post a Comment