KUALA LUMPUR - Kegagalan Malaysia melepasi separuh akhir Piala Suzuki AFF menuntut ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal melakukan pembaharuan terhadap skuad Harimau Malaya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Rajagobal perlu menggunakan pendekatan dan corak permainan baharu bagi memastikan skuad bola sepak negara mempamer prestasi lebih baik apabila menghadapi kelayakan Piala Asia, Februari nanti.
Tegasnya lagi, perubahan harus dibuat untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap skuad Harimau Malaya yang memuncak selepas kejayaan merangkul tiga kejuaraan sejak beberapa tahun lalu (Sukan SEA 2009, 2011 dan Piala AFF 2010).
''Pada masa ini, kita dapat melihat penggunaan corak permainan ala Sepanyol membantu prestasi pasukan Filipina dan Vietnam naik secara mendadak.
"Begitu juga dengan pemain Thailand yang lebih cekap mengawal bola dan memiliki kemahiran individu tinggi berbanding kita.
''Rajagobal seharusnya menggunakan kaedah baharu bagi memperbaiki prestasi pasukan bola sepak negara.
"Beliau tidak boleh menyerah dengan mengatakan pasukannya pernah menang dahulu, maka mereka boleh menang lagi pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perkahwinan anak perempuannya di Kompleks Sukan Bukit Kiara di sini semalam.
Ahmad Shabery turut meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah baik program pembangunan bola sepak tempatan termasuk sistem liga yang digunakan sekarang.
Namun, beliau berpandangan adalah tidak adil bagi mana-mana pihak untuk mendesak Rajagobal meletak jawatan susulan kegagalan membawa skuad Harimau Malaysia ke peringkat akhir Piala AFF Suzuki tahun ini.
''Rajagobal telah membuktikan kecemerlangan secara berterusan dengan kejayaannya membimbing Malaysia menjuarai pertandingan bola sepak dalam temasya Sukan SEA sebanyak dua kali selain berjaya membawa pulang Piala AFF Suzuki pada 2010," ujarnya.
No comments:
Post a Comment