PEMAIN import T-Team, George Boateng diberi kepercayaan untuk menjadi kapten pasukan The Titans bagi musim baru ini.
Ketua jurulatih, Peter Butler yang juga pengurus pasukan berkata, walaupun bekas pemain antarabangsa Belanda itu baru saja menyertai pasukan T-Team, namun ciri kepimpinannya jelas terserlah.
Bagaimanapun, jurulatih bangsa Inggeris berusia 46 tahun itu berkata, bekas ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof yang kini sudah menyertai T-Team juga berkaliber sebagai kapten pasukan T-Team.
“Marzuki belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan mungkin belum dapat beraksi dalam kesebelasan utama apabila Liga Super bermula 8 Januari.
“Mungkin Boateng dan Marzuki dapat bergilir tugas dan saya percaya kedua-dua pemain itu tidak mempunyai masalah memikul tugas membimbing pasukan bukan saja di dalam padang malah di luar,” katanya pada sidang media sebelum pelancaran jersi baru The Titans di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu semalam.
Butler juga turut gembira melihat lebih 3,000 peminat berkunjung ke stadium untuk melihat dengan lebih dekat barisan pemain T-Team yang bakal menggalas cabaran merangkul sekurang-kurangnya satu piala musim baru ini.
“Kalau dulu kita dengar T-Team bermain dalam stadium hampir kosong, kini selepas melihat dengan mata saya sendiri kesungguhan peminat The Titans, saya percaya ribuan penyokong akan memberi sokongan padu setiap kali kami bermain di Kuala Terengganu.
“Saya rasa peminat T-Team juga tahu pasukan ini bukan lagi yang dulu dan mereka juga tentu yakin dengan kualiti pemain yang kami bawa ke sini termasuk dua pemain import, George Boateng dan Caleb Folan,” katanya.
Sementara itu, Boateng yang pernah bermain untuk Kelab Inggeris, Aston Villa dan Middlesbrough berkata, dia datang ke Kuala Terengganu bukan untuk bercuti tapi mencari kejuaraan dan memenangi piala.
“Saya tidak suka kalah dan akan melakukan segala yang terdaya untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala pada musim baru.
“Saya bermain bola sepak bukan kerana nama atau harta, namun nama amat penting buat saya dan mahu semua peminat bola sepak mengingati nama saya apabila sudah tidak lagi beraksi dalam Liga Malaysia,” katanya yang mengaku tidak kekok bermain dengan Folan kerana pernah bermain bersama di Kelab Hull City hampir 10 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment