Friday, November 23, 2012

Umum pemain hari ini



KUALA LUMPUR - Senarai penuh 22 pemain yang akan membawa cabaran Harimau Malaya di Piala Suzuki AFF akan diumumkan oleh jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal pada hari ini selepas sesi latihan sebelah petang.

Biarpun mengakui sebelum ini sudah mempunyai bayangan dua pemain yang akan digugurkan selepas perlawanan persahabatan dengan Bangladesh Selasa lalu, dia tidak mahu memberitahu senarai pemain lebih awal kerana bimbang jika berlaku kecederaan pada saat akhir.



"Ya, saya akan umumkan senarai 22 pemain esok (hari ini) setelah meneliti semua faktor.

"Apa-apa boleh terjadi jika disentuh masalah kecederaan, bukan sahaja semasa sesi latihan sebaliknya di mana-mana sahaja boleh berlaku dan atas sebab itu, saya mengambil masa untuk umumkan senarai akhir pemain yang akan beraksi pada AFF," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Rajagobal yang berdepan tekanan hebat daripada semua pihak ekoran prestasi hambar skuad kebangsaan dalam empat perlawanan persahabatan masih tetap kekal optimis anak-anak buahnya akan menunjukkan karakter sebenar apabila berdepan Singapura.

Menurutnya, kekecewaan untuk meraih kemenangan pada perlawanan persahabatan perlu dijadikan iktibar seumpama menegur anak-anak yang gagal dalam peperiksaan percubaan dan jangan terlalu cepat menghukum barisan pemain negara.

"Jika kita mempunyai anak-anak yang masih bersekolah dan mereka gagal dalam peperiksaan, adakah kita akan terus melemparkan kritikan atau memberikan kata-kata motivasi supaya mereka mencuba lagi?

"Sepatutnya itu yang perlu kita sematkan dalam skuad negara, jangan kerana kita tidak mampu meraih dalam beberapa perlawanan, semua peminat bertindak menghukum mempersoalkan peluang kami dalam kejohanan sebenar," katanya.

Jika diperhatikan pada sesi latihan petang semalam, kebanyakan pemain dilihat cukup serius di samping Rajagobal semakin mempertingkatkan rentak latihan untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.

Hakikat itu diperakui olehnya yang berkata, para pemain semakin sedar dan bersemangat membuktikan sesuatu pada perlawanan dengan Singapura untuk meraih kemenangan pertama pada saingan Piala Suzuki AFF 2012.

"Para pemain semakin menunjukkan kesungguhan pada sesi latihan sebagai usaha bangkit daripada prestasi hambar dalam beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini.

"Perjumpaan dengan Presiden FAM pada dua hari lalu menyuntikkan lagi semangat para pemain di saat-saat kritikal ketika kejohanan akan berlangsung beberapa hari sahaja lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...