KUALA TERENGGANU - George Boateng tiba di Kuala Terengganu semalam bersama amaran, dia bukan kuda tua yang hanya mahu menghabiskan sisa kariernya, sebaliknya datang untuk menempa nama bersama T-Team dalam kancah bola sepak Malaysia.
Boateng, 37, pemain kelahiran Ghana yang pernah beraksi dengan skuad Belanda itu menepis tanggapan bahawa kehadirannya sekadar untuk melancong dan mendapatkan habuan kontrak terakhir.
"Nama saya membawa makna lebih besar daripada wang.. saya mahu melihat semula kerjaya saya di Malaysia setelah mendengar ramai yang berkata bahawa saya seorang pemain yang baik," katanya pada sidang media selepas menandatangani kontrak selama setahun bersama T-Team.
Masih kelihatan cergas secara fizikal, Boateng menegaskan dia memilih T-Team untuk mencari cabaran baru dan tidak tidak akan mempersiakan harapan dirinya serta pengurusan malah, mahu kehadirannya dikenang.
Boateng bermain dalam 70 perlawanan semasa menyarung jersi gergasi bola sepak Belanda, Feyenoord Rotterdam.
Dia juga pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris bersama Aston Villa, Middlesbrough dan Coventry City.
"Saya orang pertama (dari luar) yang bermain untuk Belanda. Saya juga pernah memegang rekod sebagai pemain asing yang beraksi paling banyak dalam Liga Perdana Inggeris (384 perlawanan).
"Di sini saya berharap dapat berkongsi pengalaman dengan pemain muda tempatan," ujarnya lagi.
Boateng menjelaskan, meskipun ada banyak pilihan, dia tertarik menyertai T-Team kerana kelab itu diuruskan dengan baik dan akan berada di bawah jurulatih, Peter Butler.
"Memiliki Butler di sini adalah penting kerana dia tahu bagaimana saya bermain dan bagaimana sepatutnya bola sepak dimainkan.
"Namun tiada siapa yang menjadi bintang dalam bola sepak, kita perlukan semua pemain untuk menjadikan kelab ini hebat," ujarnya lagi.
Meskipun corak permainan di Malaysia agak perlahan tetapi kata Boateng, ia tetap mencabar dan tidak boleh dipandang mudah.
Malah katanya, musim depan bakal membawa perkembangan menarik buat Liga Malaysia apabila Johor FC akan menurunkan penyerang sepanyol, Daniel Guiza and bekas pemain Lazio, Simone Del Nero.
"Saya pernah bermain bersama pemain terbaik dunia, jadi saya sentiasa bersedia berdepan dengan cabaran. Saya akan tunjukkan apa yang saya mampu lakukan apabila mendapat bola," ujarnya.
No comments:
Post a Comment