SEPANG - Jurulatih Singapura, Radojko Avramovic meletakkan kekuatan pasukannya setanding musuh ketat, Malaysia menjelang sepak mula Piala Suzuki AFF 2012 pada Ahad ini.
Katanya, Indonesia yang kurang diketahui, mampu mencipta kejutan dan Laos pula dianggap semakin meningkat kebelakangan ini.
Jelas beliau, kesemua ramuan ini bakal menjadi daya penarik kehadiran penonton pada Piala Suzuki AFF 2012 khususnya Kumpulan B di Bukit Jalil sekali gus mencipta sebuah pertandingan bola sepak terbaik di rantau Asia Tenggara.
"Malaysia dan Singapura pasukan yang bagus. Tidak banyak diketahui mengenai Indonesia tetapi mereka boleh mengejutkan sesiapa. Laos pula kian meningkat sejak beberapa tahun lalu. Faktor inilah menjadi daya penarik kehadiran penonton," katanya.
Jurulatih dari Serbia ini yang ditemui setibanya dengan skuad The Lions di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, semalam.
"Bagi Singapura, kami mesti bermain pada tahap terbaik. Yang penting juga adalah untuk mara ke pusingan seterusnya (separuh akhir)," ujarnya.
Sementara itu, kata ketua pasukan The Lions, Mohammad Shahril Ishak menyifatkan pertemuan sulung mereka dengan Harimau Malaya, Ahad ini sebagai sesuatu yang sukar apatah lagi tuan rumah dengan kelebihan gelanggang sendiri dan sokongan penyokong mereka.
"Malaysia tetap memiliki pemain yang berkualiti seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha dan Safiq Rahim. Saya percaya apabila memasuki kejohanan, Malaysia mampu berubah dan berikan persembahan baik (berbanding keputusan hambar siri persahabatan).
"Sukar untuk membandingkan lawan sekarang dengan rekod persahabatan (Jun) lalu (Singapura seri 2-2 dan kalah 0-2), namun (apabila) menentang juara bertahan, kami perlu berikan yang terbaik, bermain dengan tenang dan mengikut cara kami," katanya.
Mengenai pasukannya, kata Shahril, mereka memiliki gabungan pemain muda dan berpengalaman dengan kebanyakannya daripada Liga Singapura tetapi tetap akan bermain dengan semangat sepasukan dalam setiap perlawanan.
"Memang ada beberapa pemain Lions XII (pasukan Liga M) tetapi kebanyakannya daripada Liga S. Apabila memasuki padang, kami tetap turun sebagai sebuah pasukan Singapura dan bersedia memberikan persembahan 110 peratus.
"Sejak menang 4-0 dengan Pakistan (persahabatan Isnin lalu), keyakinan kami semakin meningkat untuk memasuki kejohanan ini," katanya yang menyifatkan penyerang veteran, Aleksandar Duric masih menjadi harapan terbaik Singapura di sebalik usia 40-an.
No comments:
Post a Comment