NAIB juara Piala Suzuki AFF 2010, Indonesia antara halangan utama skuad negara melepasi ranjau Kumpulan B pada edisi tahun ini yang berbaki beberapa hari lagi.
Skuad Garuda kendalian Nil Maizar sudah menamatkan aksi persahabatan terakhir pada Sabtu lalu apabila mengikat skuad didakwa bawah 23 tahun Cameroon apabila seri tanpa jaringan dan bekas jurulatih kelab Semen Padang itu nyata bimbang dengan prestasi barisan pertahanan dan jentera serangan.
“Selepas perlawanan menentang Cameroon, persembahan pertahanan nyata perlu terus ditingkatkan. Kami perlu mencari jalan penyelesaian agar beraksi lebih baik menjelang kejohanan sebenar yang berbaki beberapa hari lagi,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan republik itu.
Skuad kendaliannya harus berterima kasih kepada penjaga gol Persebaya Surabaya, Endra Prasetya yang beraksi cemerlang mempertahankan gawangnya dari dibolosi walaupun barisan pertahanan terperangkap dengan kehebatan lawan dari Afrika itu.
Malah Nil turut pening memikirkan ketumpulan jentera serangan yang dilihat belum mencapai tahap maksimum selepas hanya Bambang Pamungkas menjaringkan satu gol dan Irfan Bachdim (tiga) menggegar gawang dalam enam aksi persahabatan terakhir manakala tiga lagi penyerang, Samsul Arif, M Rahmad dan pemain naturalisasi dari Belanda, Johnny van Beukering masih gagal membuktikan ketajaman.
“Kami turut memberikan tumpuan yang lebih kepada jentera serangan bagi memastikan mereka mampu merobek gawang,” kata jurulatih berusia 42 tahun itu.
Indonesia dijadual bertolak ke Kuala Lumpur esok dengan Nil masih belum memutuskan senarai 22 pemain yang bakal menggalas cabaran Garuda di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Namun beliau hanya perlu menyingkirkan seorang pemain selepas kehilangan Diego Michiels dan Hengky Ardiles dalam kem latihan pusat dengan pemain naturalisasi dari Belanda, Raphael Maitimo menjadi calon utama untuk disingkirkan.
Indonesia memulakan cabaran Kumpulan B menentang Laos, Ahad ini, diikuti Singapura (28 November) dan Malaysia (1 Disember).
No comments:
Post a Comment