Monday, October 24, 2011

'Tahun milik Terengganu'



Pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahya (kiri) bersaing dengan pemain Selangor, Mohd. Asraruddin Putra Omar pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kuala Terengganu, kelmarin. Tuan rumah menang 2-1.


KUALA TERENGGANU - ''Ini tahun untuk Terengganu," ujar Irfan Bakti penuh yakin dengan aksi anak buahnya yang seolah-olah perjalanan penyu tidak boleh disekat lagi ketika beraksi di pentas akhir kelak.

Terengganu yang akhirnya mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan bakal menentang Negeri Sembilan pada 29 Oktober ini mahu mengulangi kejayaan sedekad lalu dengan membawa piala berprestij dalam arena bola sepak negara itu.

Kejayaan ini kembali mencetuskan semula suasana demam bola sepak di negeri ini.
Irfan Bakti percaya sejarah manis yang dilakar pada 2001 setelah menang 2-1 ke atas Perak mampu berulang sekali lagi berdasarkan komitmen serta keyakinan tinggi anak buahnya.

Beliau menyifatkan kesungguhan para pemain skuad Penyu pada sepanjang musim Piala Malaysia kali ini sangat luar biasa dan juara Piala FA itu mampu mengulangi sejarah 10 tahun lalu.

Selain itu, jelasnya, pemain Terengganu telah menunjukkan prestasi dan komitmen bermula awal musim lagi dan momentum itu konsisten sehingga menghampiri kemuncak.

"Saya bukan ingin mendabik dada tapi tetap percaya tahun 2011 ini, pasukan kita akan berjaya membawa pulang Piala Malaysia ke Terengganu.

"Kalau kita lihat perlawanan-perlawanan terdahulu, Terengganu melalui rentetan yang menyakinkan bahawa skuad Penyu berupaya merangkul Piala Malaysia musim ini," katanya sewaktu ditemui sejurus tamat perlawanan separuh akhir kedua Terengganu menentang Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Dalam pada itu, pengendali Selangor, P. Maniam pula berkata, walaupun tewas dan gagal mara ke perlawanan akhir, beliau tetap berpuas hati, malah turut berbangga dengan semangat juang para pemain Merah Kuning dari awal perlawanan sehingga wisel penamat.

"Saya puas hati dengan semangat tinggi para pemain Selangor, kita dah cuba sedaya upaya tapi nasib memang tidak menyebelahi kita dan Terengganu lebih baik," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...