Tuesday, October 4, 2011

Azraai tetap hormat penampilan FELDA United

REPUTASI selaku juara Kumpulan B dan bekas juara Piala Malaysia, tidak meletakkan Negeri Sembilan terlalu yakin untuk mengatasi FELDA United pada pertembungan suku akhir pertama di Stadium Petaling Jaya, Sabtu ini. 

Sebaliknya skuad Hoben Jang Hoben itu mengakui betapa mereka masih mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki kerana sedar cabaran yang bakal dihadapi nanti bukan mudah tetapi amat getir dan berliku.

“Barisan utama perlu dimantapkan kerana masih terdapat beberapa kelemahan di semua bahagian walaupun dalam kempen Piala Malaysia ini tampak ada peningkatan.
“Aspek itu yang sedang saya berikan tumpuan kerana FELDA United bukan calang pasukan kerana mereka sudah membuktikan kemampuan mengatasi Kelantan pada peringkat kumpulan,” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah, semalam. 

Sehubungan itu, dia sentiasa mengingatkan anak buahnya supaya berhati-hati kerana barisan milik E Elavarasan tidak boleh dipandang rendah apa lagi dengan kehadiran tiga pemain skuad Harimau Muda, yang tampak memberikan kesan positif dari segi kekuatan pasukan itu. 

Justeru, dia terpaksa merangka strategi ampuh dan dalam masa sama mahu setiap pemain meningkatkan prestasi untuk memastikan mereka benar-benar bersedia berdepan skuad berkenaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...