Thursday, October 13, 2011

'Memang patut layang kad merah'




KUALA LUMPUR - Pengadil berpengalaman, Subkhiddin Mohd. Salleh (gambar) mempertahankan tindakan Mohd. Nafeez Abd. Wahab yang melayangkan lima kad merah ketika mengadili perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Kelantan, Isnin lalu.

Berdasarkan pemerhatian pada perlawanan tersebut, Subkhiddin yang disenaraikan sebagai pengadil pada Piala Dunia 2010 Afrika Selatan menegaskan: ''Pengadil memang tiada pilihan selain melayangkan kad merah atas tindakan (kesalahan) pemain yang terbabit.

''Nafeez adalah seorang pengadil yang bagus, dia adalah antara salah seorang pengadil yang mendapat pengiktirafan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa)," katanya yang dihubungi, semalam.

Pada masa sama, menurut Subkhiddin, penyokong kedua-dua pasukan tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh pengadil gagal menjalankan tanggungjawab, namun perlu melihat semangat permainan bersih yang gagal diterapkan pada malam berkenaan.

''Pasukan yang bermain pada malam itu juga tidak banyak membantu kelancaran perlawanan lantas menjejaskan tumpuan pengadil.

''Jika kedua-dua pasukan mempunyai semangat kesukanan, insiden lima kad merah tidak berlaku.

''Segelintir penonton juga ada yang bukan mahu menonton perlawanan tetapi lebih suka tengok pertembungan atau pergaduhan antara pasukan, sepatutnya penonton bersikap profesional," katanya.

Beliau mengulas insiden lima kad merah dan 10 kad kuning yang dilayangkan pengadil dalam perlawanan Isnin lalu.

Kelantan kehilangan tiga pemain iaitu Shakir Shaari, Daudsu Jamaluddin dan Aziz Ismail sementara Terengganu, Ismail Faruqi dan Zubir Azmi kerana kad merah.

Subkhiddin mengakui ada beberapa keputusan yang boleh diperbaiki pada masa akan datang.

''Memang ada beberapa situasi yang tidak boleh dikategorikan untuk mendapat tindakan disiplin, sebaliknya memadai dengan amaran secara lisan dan sepakan percuma, namun saya faham situasi pengadil pada perlawanan berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...