GERAM...luahan penyokong Negeri Sembilan dalam facebook yang bengang dengan harga tiket RM50.
Bagi mereka, harga tiket sekata untuk semua tempat duduk itu agak mahal jika dibandingkan tahun lalu apabila penonton mempunyai pilihan sama ada mahu membeli tiket berharga RM50 bagi tempat duduk grandstand dan RM30 untuk tempat duduk biasa di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Bagaimanapun menurut Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S Sivasundaram, pihaknya mempunyai alasan tersendiri dalam membuat ketetapan mengenai harga baru tiket itu.
“Dulu kita jual tiket RM50 dan RM30, ada penonton yang beli tiket RM30 kemudian lompat ke tempat duduk grandstand, sekarang kita buat keputusan untuk letak satu harga tiket saja.
“Duit kutipan tiket ini selepas ditolak dengan kos penganjuran akan diagih-agihkan sama rata kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dan Negeri Sembilan (PBNS), jadi pihak persatuan yang akan dapat duit ini.
“Duit yang dikutip ini dapat menampung kos perbelanjaan mereka selepas membentuk pasukan yang mantap bagi merebut Piala Malaysia. Ini perlawanan yang berprestij jadi adalah wajar dengan harga tiket yang dikenakan itu,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.
Selain tiket berharga RM50 bagi dewasa, FAM juga mengeluarkan tiket berharga RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Sebanyak 65,000 tiket akan dijual bagi menyaksikan final Piala Malaysia kali ini dengan 30,000 tiket akan diagihkan sama rata kepada persatuan Terengganu dan Negeri Sembilan bermula hari ini.
Biarpun FAM mengenakan harga baru, Sivasundram tetap yakin penyokong Terengganu dan Negeri Sembilan akan tetap membanjiri Stadium Shah Alam untuk memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.
“Kami sudah berbahas mengenai harga tiket ini dalam mesyuarat sebelum ini dan tidak ada bantahan oleh kedua-dua pasukan. Saya tetap yakin semua 65,000 tiket yang dikeluarkan akan habis dijual,” katanya.
Sementara itu, pada sidang media perlawanan akhir Piala Malaysia semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan gelanggang perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Shah Alam.
Katanya, keadaan padang di stadium itu kini sedang dibaik pulih dan boleh digunakan pada final Sabtu ini selepas Stadium Nasional tidak dapat digunakan bagi kerja-kerja menaik taraf trek.
No comments:
Post a Comment