Wednesday, October 26, 2011
Penyokong N. Sembilan turut bantah
SEREMBAN - Rata-rata penyokong Hoben Jang Hoben menyifatkan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dengan Negeri Sembilan pada kadar RM50 sebagai amat membebankan peminat.
Bagi Khairulzzaman Mohd. Yusof, 31, keputusan FAM menjual tiket pada harga tersebut terlalu membebankan penyokong dan melampau.
"Saya tidak setuju kerana kos tersebut terlalu tinggi, mereka tidak sepatutnya jual pada harga begini. Kami bukannya orang senang.
"Nilai RM50 amat besar buat kami yang berpendapatan kecil, tolong jangan tekan rakyat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) di sini semalam.
Tambah S. Anand Raj, 32, FAM seharusnya mengkaji terlebih dahulu kemampuan orang ramai sebelum menetapkan kadar tiket tersebut.
"RM50 terlalu mahal, saya terpaksa mengeluarkan belanja hampir RM500 untuk bawa keluarga saya ke Shah Alam, kos tiket saja RM300, itu tidak termasuk kos pengangkutan, tol serta makan minum.
"Tetapi apa boleh buat, saya memang peminat setia Negeri Sembilan, terpaksalah tanggung beban sedikit," ujar Anand yang menyifatkan kadar RM35 sudah memadai untuk dikenakan kepada penyokong.
Menurut seorang lagi penyokong skuad Rusa, Farizi Mohd, 20, dia terkilan dengan tindakan FAM itu serta beranggapan penetapan harga itu sebagai 'mencekik darah'
"Penyokong yang ke stadium ini terdiri di kalangan orang yang berpendapatan sederhana bukannya orang kaya, maka mereka tidak patut buat macam ini.
"Ramai rakan-rakan saya yang tidak dapat pergi ke stadium kerana harga tiket ini, kerana ada di kalangan mereka yang masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan," katanya.
Seorang lagi peminat, Siti Hadayu Nasharidan, 16, berkata, harga tersebut terlalu membebankan penyokong.
"Saya agak sedih kerana harga tiket ini terlampau mahal, sudahlah tiket mahal lambat pula dijual," katanya yang menunggu penjualan tiket sejak dari 10 pagi hingga 5.30 petang.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di Wisma PBNS mendapati sekumpulan penyokong bertindak berkumpul membantah serta mengedarkan risalah kepada penyokong lain supaya memboikot penjualan tiket akhir perlawanan akhir Piala Malaysia itu.
Penjualan tiket juga didapati kurang mendapat sambutan daripada orang ramai berbanding tahun lalu.
Sementara itu, Pengurus PBNS, Datuk Abdul Halim Abdul Halif memberitahu, FAM memperuntukkan sebanyak 30,000 keping tiket akhir untuk dijual di Negeri Sembilan yang bernilai mencecah RM1.5juta.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment