JURULATIH Perak, Norizan Bakar menganggap pertemuan suku akhir Piala Malaysia 2011 dengan Selangor hanya satu permainan biasa untuk anak buahnya.
“Tiada apa-apa keistimewaan. Ia hanya satu perlawanan yang perlu kami hadapi. Secara kebetulan lawannya adalah Selangor.
“Tiada sebarang latihan atau persiapan khas. Yang penting kami perlu bermain sebaik mungkin jika ingin menang,” katanya.
Norizan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan suku akhir dengan skuad gergasi itu pada 10 dan 14 Oktober ini yang kini mencetus keghairahan di kalangan peminat Seladang.
Walaupun bangga dengan pencapaian pemain, jurulatih itu berkata, tidak ada sebab buat Perak mendabik dada kerana belum memenangi apa-apa piala.
Malah jurulatih itu turut tidak mahu memperbesar-besarkan kejutan yang dilakukan anak buahnya yang berjaya muncul juara kumpulan serta mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Kumpulan A.
Walaupun tidak diberi sebarang harapan di awal saingan berikutan penggantungan lima tonggak pasukan, pemain Perak menafikan ramalan pengkritik dengan mempamerkan aksi bertenaga dalam enam perlawanan.
“Saya bersyukur dengan keputusan yang dicapai. Selain usaha pasukan, kita tidak boleh lupa akan ketentuan takdir.
“Namun tugas kami masih banyak. Malah laluan juga masih berliku. Pemain perlu bekerja keras. Mereka perlu memberi tumpuan sepenuhnya pada perlawanan ini,” katanya.
Mengenai harapannya, Norizan tidak mahu membuat sebarang ramalan terhadap perlawanan itu kerana perlu membuat perhitungan perlawanan demi perlawanan.
“Satu demi satu perlawanan. Selepas tamat persaingan pertama, ada perlawanan kedua. Ia tidak sama kerana situasinya berbeza,” katanya.
No comments:
Post a Comment