Tuesday, October 25, 2011

Tak masuk akal


KELAB Penyokong Bola Sepak Terengganu (Peteh) kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan harga tiket RM50 bagi semua tempat duduk pada aksi final Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Setiausahanya, Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, harga tiket yang ditetapkan badan induk bola sepak negara itu terlalu mahal dan tidak masuk akal selain tidak menunjukkan semangat kesukanan sebenar.

“Sepatutnya FAM mengkaji lebih mendalam terlebih dulu sebelum membuat keputusan itu termasuk mengambil kira kos terpaksa ditanggung peminat kedua-dua pasukan yang sudah tentu akan membanjiri stadium.


“Sebagai contoh, peminat dari Terengganu terpaksa melalui perjalanan yang jauh sebelum sampai ke Shah Alam dan sudah tentu kos yang perlu ditanggung peminat amat tinggi termasuk pengangkutan, tol dan makan minum.

“Sekiranya FAM masih tidak berganjak dengan keputusannya untuk tidak menurunkan harga tiket, saya percaya matlamat untuk menarik minat penyokong ke stadium tidak akan tercapai selain akan mengurangkan kemeriahan pertandingan akhir itu.

“Kami mahu FAM mengkaji semula harga tiket dan berharap harganya dapat dikurangkan kepada RM30 bagi tempat duduk biasa dan RM50 bagi tempat duduk VIP,” katanya.



Sementara itu, seorang peminat, Amaliza Ismail, 38, berharap FAM tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata tetapi perlu melihat sokongan padu yang bakal diberikan penyokong kedua-dua pasukan.

“Keputusan FAM menetapkan harga tiket RM50 amat melampau dan tidak mengambil kira kos yang terpaksa ditanggung terutama peminat Terengganu yang terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk ke Shah Alam.

“Saya berharap FAM mengkaji semula keputusan itu dan jangan ambil kesempatan ketika peminat sudah mula menunjukkan minat terhadap bola sepak negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...