Thursday, October 6, 2011

MB arah tingkat kawalan keselamatan di stadium


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mahu polis meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan tidak berlaku insiden penonton bertindak liar pada perlawanan suku akhir Piala Malaysia di antara Kelantan dan Terengganu pada Isnin ini.

Beliau tidak mahu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini terus dicemari dengan perlakuan buruk sebilangan penyokong yang tidak memperlihatkan semangat kesukanan.

Ahmad berharap lebih ramai anggota polis terutama Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di setiap sudut di dalam stadium bagi mengawal penyokong.

Pada perlawanan Piala Malaysia antara Terengganu menentang Negeri Sembilan di stadium berkenaan pada 27 September lalu, berlaku kekecohan penyokong.

Dalam perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan, penonton yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, membaling botol minuman ke arah pengadil, penjaga garisan serta para pemain lawan.

Berikutan insiden itu, perlawanan yang berlangsung ketika ribut serta hujan lebat terpaksa dihentikan selama kira-kira tujuh minit, sebelum keadaan kembali pulih.

"Saya minta polis terutama FRU mengambil langkah keselamatan bagi mengawal tindakan liar penonton. Sepatutnya FRU ditempatkan di setiap sudut bagi mengawal keadaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya, langkah keselamatan perlu diberi perhatian serius apatah lagi Terengganu bakal bertemu Kelantan pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, 10 Oktober ini bagi memastikan kejadian tidak diingini berulang.

"Kita mahu para penonton menunjukkan sikap yang baik serta semangat kesukanan yang tinggi, bukan bertindak liar dan merusuh.

"Kita ada rakaman aksi liar mereka dan mereka tak akan terlepas daripada tindakan," ujarnya.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh memberi amaran keras buat penyokong Terengganu agar menjaga tingkah laku dan jangan sekali-kali memalukan negeri itu menjelang perlawanan menentang Kelantan nanti.

Katanya, ini kerana, perlawanan kedua-dua pasukan pantai Timur itu sering ditunggu-tunggu selain menjadi pertarungan genting yang boleh mengundang kekecohan di kalangan penonton fanatik kedua-dua pasukan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...