Wednesday, October 12, 2011

Kelantan perlu bangkit segera


PENGURUS Kelantan, Azman Ibrahim mahu barisan pemain melupakan ‘mimpi ngeri’ kekalahan 1-3 kepada Terengganu pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2011 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.
Menurutnya, kekalahan tersebut perlu dilupakan segera menjelang pertemuan kedua yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Jumaat ini.
“Harus di ingat perlawanan masih berbaki 90 minit, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Apa yang penting kita fokus dan mendapatkan jaringan awal sebagai pembakar semangat untuk merapatkan jurang gol.
“Kita perlu menang 2-0 atau 3-1 di Kota Bharu. Apa yang saya dapat katakan kita masih mempunyai peluang dan kita akan bermain mati-matian dalam perlawanan kedua dan perlu mengatasi defisit dua gol pasukan Terengganu nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Biarpun kehilanggan tiga tonggak utama, beliau percaya Datuk M. Karathu selaku ketua jurulatih mampu menyusun strategi terbaik untuk menghadapi Terengganu dalam perlawanan kedua nanti.
Pada perlawanan tersebut, Terengganu yang beraksi di gelanggang sendiri mencatat kemenangan berharga 3-1 ke atas juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan dalam perlawanan ‘tegang’ dengan lima layangan kad merah dan 11 kad kuning oleh pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab.
Mengulas mengenai aksi malam kelmarin, Azman memberitahu, meskipun kehilangan dua pemain serentak iaitu Mohd. Shakir Shaari dan Mohd. Daudsu Jamaludin pada minit ke-31 dan 34, barisan pemainnya masih mampu mencipta gerakan menarik dan mengimbangi perlawanan tersebut.
“Saya berpuas dengan apa yang telah dipamerkan oleh barisan The Red Warriors, walaupun beraksi sembilan pemain namun mereka masih mampu bertahan sehinggalah tuan rumah mendapatkan gol pertama pada minit-minit akhir separuh masa pertama.
“Selain itu kita juga berjaya mendapatkan jaringan pada minit ke-77 menerusi kapten pasukan, Mohd. Badri Radzhi menerusi sepakan penalti sebelum Terengganu mendapatkan gol kedua mereka di minit ke-88.
“Gol ketiga oleh Mohd. Mazuki (Yusoff) boleh dianggap gol kontroversi kerana dia menyepak bola sedangkan pengadil tidak meniupkan wisel lagi. Namun keputusan muktamad pengadil itu dan kita terpaksa akur,” ujarnya.
Azman menyifatkan ia tidak menggambarkan keseluruhan perlawanan tersebut tegang di antara pemain kedua-dua pasukan selepas lima kad merah dan 10 kad kuning dilayangkan pengadil.
“Kalau kata perlawanan ini ‘panas’ hanya kerana layangan 15 kad tidak tepat rasanya. Memang pada separuh masa pertama berlaku sedikit ketegangan namun saya percaya itu sebahagian daripada permainan bola sepak.
“Kekasaran itu merupakan perkara biasa dalam bola sepak. Cuma saya berharap pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat memantau prestasi pengadil dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.
Azman berharap untuk perlawanan penting seperti ini ia seharusnya diadili oleh empat pengadil terbaik di negara ini.
“Jadi saya harap FAM dapat menilai semula prestasi pengadil pada masa akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...