Wednesday, October 26, 2011

Ultras Tranung dan Ultras Nogori boikot perlawanan akhir


KUALA LUMPUR - Ultras Tranung (Terengganu) dan Ultras Nogori (Negeri Sembilan) mengambil keputusan untuk memboikot perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-45 kerana harga tiket yang disifatkan cekik darah.

Menurut satu status laman sosial Facebook Ultras Tranung, kenaikan itu sangat membebankan, terutama bagi penyokong yang tidak pernah ketinggalan pergi ke stadium sepanjang musim untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

"Walaupun ada berita mengatakan kerajaan negeri memberi subsidi kepada penyokong Terengganu, namun kami mengambil pendirian tidak sanggup 'makan' duit rakyat Terengganu yang berhak.

"Pendirian Ultras Tranung ialah tidak akan tunduk kepada harga cekik darah yang dikenakan dan akan memboikot sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menurunkan harga," katanya.

Sementara itu, seorang jurucakap UN9 (Ultras Negeri Sembilan) yang dikenali sebagai Carlas berkata, mereka akan hadir ke Stadium Shah Alam Sabtu ini bersama 200 ahlinya, namun tidak akan masuk ke dalam stadium.

"Kami akan menyanyi dari luar stadium untuk menyokong skuad Rusa dan menggantung kain rentang membantah kenaikan tiket.

"Pada hari ini, di Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi, kami juga membuat tindakan sama apabila pergi ke kaunter jualan tiket namun tidak membeli sebaliknya menggantung kain rentang mengutuk harga tiket yang melampau," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...