BISA tiga peledak tersohor Terengganu yang diketuai penjaring terbanyak musim ini, Abdul Hadi Yahaya serta Mohd Ashari Shamsuddin dan Abdul Manaf Mamat terus ditagih jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim untuk merobek gawang juara 32 kali Selangor pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Irfan Bakti, 60, turut mengharapkan benteng pertahanan dan jentera tengah mampu melaksanakan tugas dengan berkesan untuk menyekat Red Giants yang mahu mengatasi kelebihan dua gol tuan rumah yang menang 2-0 pada aksi pertama.
Menurutnya , kelicikan tiga serangkai itu yang sentiasa bertukar posisi dan hantaran ketika menyerang tidak perlu diragui kerana mereka sudah membuktikan kemampuan masing-masing.
Katanya, prestasi mereka amat menggembirakannya dan berharap terus berusaha gigih bagi merealisasikan hasrat Terengganu memburu juara piala berprestij itu.
“Prestasi tiga pemain di posisi depan itu semakin menyerlah dan serasi sebagaimana dibuktikan ketika beraksi menentang Kelantan dan Selangor pada separuh akhir pertama dan saya percaya jika persembahan tiga pemain itu digandakan, skuad Terengganu mampu melangkah dengan bergaya malam ini,” katanya.
Menurutnya, biarpun Abdul Hadi masih belum menemui sentuhan jaringan dalam pentas Piala Malaysia, tetapi hantarannya kepada Abdul Manaf dan Mohd Ashari tetap berbisa, sekali gus membuktikan dirinya selaku penyerang hebat dan berkualiti sebagaimana ketika meledakkan 20 jaringan.
“Begitu juga dengan Abdul Manaf yang menghasilkan dua gol di Shah Alam, Selasa lalu dan Mohd Ashari yang juga menjaringkan dua gol ketika menentang Kelantan di suku akhir.
“Saya yakin tiga pemain ini mampu menjadi senjata pemusnah ketika menentang Selangor nanti,” katanya. Dalam pada itu, jurulatih berasal dari Kelantan itu turut mengingatkan anak buahnya agar berwaspada dengan Selangor malam ini yang pasti cuba bangkit untuk memerangkap mereka.
“Sebarang kealpaan pasti mengundang padah dan saya berharap pemain dapat mencari gol awal bagi melemahkan semangat lawan,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi, berharap penyertaannya ber sama Terengganu musim ini bakal memberi tuah buat dirinya dan pasukan dalam misi memburu mahkota kejuaraan piala berprestij itu.
No comments:
Post a Comment