Monday, October 10, 2011
Selangor mahu lebur rekod Perak
KUALA LUMPUR - Selangor melaungkan keyakinan untuk mencemarkan rekod tanpa kalah juara Kumpulan A, Perak, apabila kedua-dua pasukan bertemu pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, hari ini.
Jurulatih Selangor, P. Maniam mahu anak-anak buahnya muncul sebagai pemenang pada perlawanan pertama di gelanggang sendiri sebelum berkunjung ke Stadium Perak, Ipoh.
"Bermain di tempat sendiri mungkin ada peminat harapkan kami dapat meraih kemenangan dengan jumlah yang selesa.
"Namun bagi saya, apa yang penting kami dapat meraih kemenangan tidak kira berapa pun keputusannya, 1-0 pun sudah cukup baik memandangkan Perak bukan calang-calang pasukan.
"Layak ke peringkat kalah mati, ia satu peringkat yang berbeza dan semua pemain perlu berhati-hati, tidak kira apabila bertahan atau menyerang, mereka perlu berikan seratus peratus setiap masa, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Maniam menegaskan, Perak adalah sebuah pasukan yang mampu bertahan dengan baik dan Selangor pasti berdepan masalah untuk merobohkan kubu skuad Seladang.
"Jika Perak lebih banyak bermain bertahan, saya mungkin akan menyerapkan permainan pantas ketika menyerang.
"Selain itu, saya juga akan memberi tumpuan ketika situasi bola mati bagi memburu gol," katanya.
Selangor yang mara selaku Naib Juara Kumpulan D, bangkit pada dua perlawanan terakhir dengan mengalahkan PDRM dan Kuala Lumpur, setelah sebelum itu tampak sukar ke suku akhir apabila sekadar mengutip empat mata dalam empat perlawanan dan peletakan jawatan K. Devan sebagai jurulatih.
Nada optimis Maniam untuk pertemuan hari ini ditambah dengan kembalinya pemain utama seperti Mohd. Nasriq Baharom dan Hardi Jaafar serta kemantapan prestasi yang ditunjukkan oleh Azidan Sarudin dan Safiq Rahim.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment