Tuesday, October 18, 2011

Ramuan rahsia


PENYERANG T-Team, Indra Putra Mahyuddin mendedahkan dia mempunyai ramuan tersendiri dalam misi membantu pasukannya mencatat kemenangan selesa apabila bertemu Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini, dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia.


Semangat membara pemain berasal dari Kampung Jelapang Jaya, Perak, untuk membantu pasukannya mencatat sejarah bukan omong kosong kerana dia bersama dua lagi rakan, Azizi Matt Rose dan Mohd Nor Farhan Muhammad, pernah membantu Kelantan menjulang piala berprestij itu musim lalu.


“Kejayaan membantu Kelantan menjuarai trofi kebanggaan bola sepak negara itu cukup manis dan kini saya bersama dua lagi rakan mempunyai resepi tersendiri dan bertekad untuk meneruskan impian muncul juara bersama T-Team pula.


“Biarpun masih selangkah lagi untuk mara ke final, saya dan rakan sepasukan sudah merancang jerat untuk menumbangkan Negeri Sembilan kerana kami memerlukan bekalan selesa untuk bertandang ke Paroi, Sabtu ini,” katanya.


Sementara itu, kapten T-Team, Rosdi Talib, mengakui barisannya mempunyai peluang cerah mara ke final kali ini sekiranya rakan sepasukan tidak melakukan kesilapan mudah.


Bekas kapten kebangsaan berkata, pertembungan malam ini pasti menjanjikan saingan menarik kerana sudah pasti pasukan lawan ingin mencalar maruah tuan rumah selain T-Team ingin membalas dendam dua kekalahan dalam liga.


“Kekalahan dua perlawanan lalu memberi pengajaran berguna buat kami. Kini kami tampil dengan wajah baru dengan kemasukan pemain berasal dari Sabak Bernam, Selangor, Mohd Fitri Omar selain ketangkasan penjaga gol muda, Mohd Zairie Hafizi, menambah lagi sengat pasukan kami.


“Seandainya adunan pemain muda dan berpengalaman yang membarisi T-Team memberikan fokus 100 peratus dan tidak melakukan kesilapan mudah, saya percaya kami bakal mengisi satu slot ke final musim ini sekali gus menembus kehampaan dalam saingan liga dan Piala FA,” katanya.



Pertahanan kental, Azizi berkata, kata-kata semangat serta imbuhan istimewa yang bakal diterima pemain sekiranya layak ke final yang diungkapkan Menteri Besar Terengganu, malam kelmarin, bakal menyuntik semangatnya dan rakan sepasukan untuk beraksi cemerlang.

“Kami sudah berikrar dan berazam mempamerkan aksi terbaik untuk mara ke pentas final sekali gus menjulang piala berprestij itu selepas membantu Kelantan musim lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...